Ahad, 27 Mei 2018 | 5:10pm
PELAKON, Eyra Hazali. - Foto Mahzir Mat Isa

Eyra 'heroin' Mr Grey pernah kecil hati

KUALA LUMPUR: Suatu ketika dulu, bintang remaja, Eyra Hazali pernah terasa hati apabila dirinya tidak dipedulikan biarpun bertahun-tahun berkongsi bakat dalam dunia lakonan.

Namun, keadaan berubah apabila Eyra dilamar membintangi drama bersiri, Mr Grey bersama Fendy Bakry yang 'meledak' ketika ditayangkan.

Hari ini, siapa sangka, Eyra, 19, menjadi antara wajah yang kerap meniti bibir peminat selain sering diburu media.

Akui gadis manis ini, dirinya sebak mengenangkan nasib sering dipandang sepi. Malah, pernah berlaku apabila kehadirannya pada acara hiburan tidak dipedulikan.

"Saya memang kurang terdedah dengan publisiti sebelum ini kerana tidak popular.

"Bohonglah jika saya tidak terasa. Berlakon sejak kecil, tetapi bakat saya bagai tidak pernah dipedulikan. Bagaimanapun, saya bukannya jenis cepat putus asa.

"Bukan saya tidak pernah hadir ke majlis sidang akhbar drama, tetapi tumpuan hanya diberi kepada pelakon popular. Saya tidak kisah kerana percaya masa saya akan tiba suatu hari nanti. Mungkin ketika itu saya masih dianggap pelakon kanak-kanak.

"Hari ini, saya bersyukur apabila dapat membuktikan saya menyusuri gelombang populariti dengan mempertaruhkan bakat, bukan kontroversi atau publisiti murahan," katanya kepada BH Online.

Hakikatnya, Eyra bukanlah artis baharu, sebaliknya sudah mula berlakon seawal usia enam tahun menerusi drama, Kitab Rindu Terindah pada 2005.

Jika dihitung, sudah lebih 13 tahun Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali menjadi anak seni.

Mewarisi bakat seni daripada bapanya yang juga pengarah drama, Hazali Ramli, gadis tinggi lampai ini berjaya membuktikan perjuangannya yang panjang akhirnya membuahkan hasil.

Pernah diangkat sebagai Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-Kanak Terbaik, Anugerah Seri Angkasa pada 2010 menerusi telefilem, Anak Anak Lorong ketika berusia 11 tahun, Eyra berkata, dia menanti selama berbelas-belas tahun untuk membuktikan bakatnya.

"Saya sudah lama berkorban, bukannya setahun atau dua. Biarpun dulu, saya pernah dinobatkan sebagai Pelakon Kanak Kanak Terbaik, tetapi ia masih tidak mampu untuk mengangkat nama saya.

"Saya percaya, inilah ketentuan yang Allah berikan. Selama ini, saya tidak pernah putus berdoa dan berjuang.

"Saya berusaha sejak kecil dan langkah saya dalam seni mungkin mengambil masa panjang, tetapi akhirnya nama saya mula mewangi," katanya yang bakal membintangi dua filem, Wasitah dan Ratu Kala Jengking, yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Gadis kacukan Melayu-Pakistan ini berkata, kekuatan meneruskan perjuangan yang panjang tersemat dalam diri apabila melihat semangat dimiliki bapanya.

"Ayah adalah pengarah drama yang memiliki semangat juang cukup tinggi. Ayah dan Mummy sering memberikan semangat kepada saya serta adik beradik untuk mencuba bidang lakonan sejak kami kecil lagi.

"Apabila dewasa, kami diberi kebebasan untuk membuat pilihan, sama ada mahu terus berlakon atau mencuba kerjaya lain," katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, apa yang dikecapi hari ini bukannya diperoleh dengan mudah. Sebelum membintangi drama Mr Grey yang menaikkan namanya, dia juga melalui uji bakat terlebih dulu.

"Malah, saya tidak terfikir untuk dipilih sebagai pelakon utama drama itu, memandangkan sebelum ini saya hanya diberi watak kecil.

"Sebelum penggambaran pun saya sudah mendapat kecaman. Ada netizen yang tidak puas hati apabila pelakon 'sendu' seperti saya terpilih membawa watak Nisa Ardina. Mereka mempertikaikan bolehkah saya membawa watak kelakar.

"Mereka juga tidak yakin saya dapat bertutur loghat utara. Mereka sebenarnya tidak mengenali saya. Mungkin mereka tidak menonton drama lakonan saya sebelum ini seperti Zoo The Series dan Nana Nini Nunu yang juga bergenre komedi," katanya.

Tambah Eyra, dia sebenarnya seorang yang kelakar dan karakter Nisa Ardina boleh dianggap sebagai dirinya sendiri.

"Jadi, saya hanya menjadi diri sendiri dalam drama Mr Grey. Apabila kawan-kawan yang menonton drama terbabit melihat cara saya melakonkan watak Nisa Ardina yang 'blur', cakap sesuka hati dan gila-gila, mereka berasakan itu adalah diri saya, hanya tukar nama saja.

"Alhamdulillah, akhirnya mereka yang dulu mengkritik kini mula menerima saya selepas menonton drama ini," katanya.

Menyentuh gosip yang sedang bertebaran mengenai hubungan dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Haziq Nadzli, Eyra hanya ketawa kecil.

Akuinya, dirinya masih terlalu muda untuk dilamun cinta.

"Saya rasa agak merepek untuk saya bercakap mengenai cinta dalam usia 19 tahun. Saya tiada jawapan berhubungan gosip cinta dengan Haziq.

"Ya, kami berkawan. Sebaiknya biarlah kami berkawan dan mengenali hati budi dulu. Lagipun, saya mahu fokus pada kerjaya yang baru saja bermula ini," katanya.

Berita Harian X