PETALING JAYA: Kehadiran Ramadan kali ini tidak memberi perbezaan kepada pelakon dan penerbit, Erma Fatima selepas berpisah dengan bekas suaminya, Badaruddin Azmi atau Bade pada 17 Ogos, tahun lalu.
Masih mempunyai anak-anak di sisi sebagai sumber kekuatan, Erma, 50, memberitahu, dia sudah biasa dengan ketiadaan Bade setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal.
"Saya rasa biasa... Tidak ada apa yang berbeza sama ada dia (Bade) ada ataupun tidak. Ini kerana mungkin sejak dulu lagi saya sudah dilatih oleh Bade untuk berpuasa bersama anak-anak memandangkan dia akan bergilir-gilir berpuasa di rumah sana (bekas isteri kedua).
"Rutin saya setiap hari kena memasak juadah berbuka untuk anak-anak sebab mereka ada dengan saya. Bagi saya, harta paling berharga adalah anak-anak dan tak pernah terfikir hendak cari pengganti bagi mengisi kekosongan hidup," katanya.
Mengakui cukup bahagia bersama anak-anak, Erma yang ditemui pada majlis pelancaran aplikasi permainan Mak Cun's Adventures di sini, semalam memberitahu, sukar baginya memulakan langkah mengenali lelaki lain dan menjalin hubungan baharu.
Tidak pernah terlintas untuk mencari teman hidup selepas rumah tangga yang dibina selama 27 tahun terlerai dengan penceraian talak satu, Erma cuma mengharapkan anak-anak sentiasa ada bersama.
"Saya sudah tua, tak ada sesiapa yang berani dekat. Susah untuk mula balik dan nak faham orang baharu. Cukuplah ada anak-anak sebagai peneman kerana merekalah syurga hidup saya sekarang.
"Seperti selalu, bulan puasa memang saya akan kosongkan untuk anak-anak dan tak ambil sebarang tawaran. Setiap masa sepanjang Ramadan saya akan bersama mereka . Kalau ada undangan majlis berbuka puasa, sama ada saya bawa mereka bersama atau anak-anak berbuka di rumah.
"Macam hari ini, saya terpaksa tinggalkan mereka berbuka di rumah sebab tak sempat. Esok (hari ini) saya pergi ke Kedah kerana ada program berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Saya akan bawa anak-anak bersama supaya mereka belajar apa yang dilalui anak-anak yatim," katanya.
Erma dan Bade, 54, yang berkahwin pada 30 November 1991, mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, Citra, 16, dan Nurain, 12.