Selasa, 22 Mei 2018 | 9:38am
AMAR masih menanti peluang menduduki kerusi pengarah. - Foto Mahzir Mat Isa

'Biar kurang popular, asal jangan tenggelam terus'

KUALA LUMPUR: Mengecap populariti menerusi drama rantaian, Setia Hingga Hujung Nyawa pada 2012, Amar Asyraf, 31, masih menanti peluang untuk mengulangi pencapaian cemerlang yang pernah diraihnya.

Turut dikenali menerusi drama Syurga Nur dan Duri Di Hati, anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu akur, namanya tidak terlalu menyerlah, biarpun sering mendapat kepercayaan memegang watak utama.

Situasi itu tidak membuatkan Amar terkilan. Mengambil nasihat isteri sebagai panduan, Amar bersyukur, masih mendapat kepercayaan penerbit dan meletakkan mutu lakonan terbaik sebagai keutamaan.

"Saya tiada masalah kurang popular. Apa yang penting, orang tetap ingat siapa saya. Bagi saya, memadai jika masih dikenali, asalkan jangan tenggelam terus. Itu lebih menakutkan, terutama bagi mereka yang mencari makan dalam bidang ini.

"Saya menjadikan pelakon berpengalaman seperti Arash Mohd sebagai contoh. Mungkin namanya tidak terlalu popular, tetapi dia dikenali dan masih bertahan sampai sekarang. Saya percaya populariti bukan ukuran jangka hayat seseorang artis," ujarnya.

Pada masa sama, Amar juga tidak berputus asa mencari peluang untuk menjadi pengarah kerana yakin mampu menggalas tanggungjawab itu dengan baik. Pernah kecewa apabila impian itu masih belum menjadi kenyataan, Amar bagaimanapun, enggan mengalah.

Amar mengakui minat terhadap kerja di balik tabir terlalu mendalam, namun menganggap, rezeki masih belum menyebelahinya untuk menduduki kerusi penting itu.

"Saya minat kerja di belakang kamera terutama bidang pengarahan dan masih lagi menanti peluang untuk mencurahkan kreativiti. Sebelum ini, saya pernah menghasilkan beberapa karya menerusi iklan yang tular di media sosial.

"Mungkin pengalaman itu belum memadai untuk saya meraih kepercayaan lebih besar. Sesekali kecewa juga kerana masih belum dapat membuktikan kemampuan. Tetapi, itu bukan alasan untuk membiarkan cita-cita saya begitu saja.

"Masa saya masih panjang dan saya akan terus berlakon dan mencari ilmu sementara menanti peluang keemasan itu datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amar kini sibuk menjalani penggambaran filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, terbitan A Aida Production di Kota Tinggi, Johor selama 35 hari.

Filem yang bakal menemui penonton awal tahun depan itu membariskan pelakon seperti Nadia Brian, Firman, Mas Khan, Eyra Hazali, Dayang Areeda, Fauziah Nawi, Aprena Manrose, Raja Azmi dan Datuk Fizz Fairuz.

Berita Harian X