Isnin, 14 Mei 2018 | 6:01pm
SHEILA Rusli dan Jinggo menerima Anugerah Drama Pilihan dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL ) di Putrajaya International Convention Center (PICC). - Foto Supian Ahmad

'Dah 'locked' tarikh, tiba-tiba tak jadi'

PUTRAJAYA: Menjulang trofi utama Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018, ada cerita di sebalik hasrat penerbit, Sheila Rusli menghasilkan telefilem Dekatkan Jarak Kita Raya sebagai kesinambungan drama 15 episod menampilkan Syafiq Kyle dan Ayda Jebat itu.

Sheila mendakwa, kegagalan pengurusan Syafiq menyusun jadual pelakon berusia 25 tahun itu menyebabkan projek telefilem sempena Aidilfitri itu tidak kesampaian, biarpun skrip dan kerja pra produksi sudah siap.

"Mac lalu kita sudah 'locked' (buat pengesahan) tarikh... Tiba-tiba pengurus Syafiq beritahu dia tidak boleh susun jadual kerana sudah penuh.

"Saya sangat kecewa dan sedih sebab tak boleh ambil pengganti (aktor lain) kerana sudah bersetuju dengan stesen televisyen (TV). Kalau tukar pelakon, judul pun mesti ubah.

"Saya tidak akan memperjudikan produk saya untuk projek ini. Saya mendahulukan kualiti dan jika tampilkan pelakon lain, ia bukan lagi Dekatkan Jarak Kita tetapi cerita baharu.

"Kalau tidak ada masa untuk terbitkan drama, lebih baik jangan buat... Tak apalah saya kecewa sekarang daripada penonton yang kecewa kelak," katanya.

Malam tadi, drama Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures meraih trofi utama, Drama Pilihan pada DFKL 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kejayaan bertambah manis apabila bintang utama, Syafiq dan Ayda diumumkan sebagai Pasangan Pilihan.

Sheila berkata, mengikut perancangan, projek telefilem itu menjalani penggambaran 10 hari dan berakhir dua hari sebelum Ramadan.

"Saya beritahu awal-awal kerana saya memang tidak membuat sebarang penggambaran pada Ramadan.

"Tiga bulan lebih awal sudah beritahu, tapi jadi macam ini pula. Saya kecewa dengan pihak pengurusan dia (Syafiq). Tengoklah, saya 'hold' (simpan) dulu cerita ini untuk siaran Aidiladha," katanya.

Sementara itu, Syafiq mengaku ralat dan kecewa kerana tidak dapat membintangi telefilem terbabit.

Enggan mencari salah siapa, sebaliknya Syafiq meminta masalah itu dirujuk kepada stesen TV berikutan dia terbabit dalam sebuah drama yang ditayangkan stesen itu.

"Setiap drama yang dilakonkan, saya beri fokus dan komitmen. Saya fikir, hal ini lebih baik ditanyakan kepada stesen TV. Bagi saya, sepatutnya mereka perlu berbincang dengan kedua-dua syarikat produksi.

"Saya bekerja sebagai pelakon dan kedua-dua produksi perlu berbincang. Ini kerana kedua-dua projek itu memerlukan serentak, apatah lagi pembabitan saya dalam drama itu adalah atas permintaan stesen TV terbabit," katanya.

Tidak mahu isu itu mengeruhkan hubungannya dengan JS Pictures, Syafiq berkata, apa yang berlaku adalah salah faham. Malah, dia sudah meminta maaf kepada Sheila.

"Hubungan saya dengan JS dan kak Sheila tiada masalah, cuma berlaku salah faham. Saya kena minta maaf dengan dia. Mungkin sedikit kecewa sebab tak dapat berlakon, tetapi saya anggap itu bukan rezeki saya," katanya.

Senarai pemenang DFKL 2018

* Drama Pilihan: Dekatkan Jarak Kita (JS Pictures Sdn Bhd)

* Pengarah Pilihan: Heykal Hanifah (Titian Cinta)

* Aktor Pilihan: Zul Ariffin (Titian Cinta)

* Aktres Pilihan: Janna Nick (Biar Aku Jadi Penunggu)

* Pasangan Pilihan: Syafiq Kyle dan Ayda Jebat (Dekatkan Jarak Kita)

* Antagonis Pilihan: Syukri Yahya (Andainya Takdir)

* Skrip Pilihan: Farhana Fauri (Titian Cinta)

* Lagu Tema Pilihan: Sumpah Cintaku (Titian Cinta-Asfan)

* Drama Pendek Pilihan: Manikam Dalam Lipatan

* Drama Radio Pilihan : Bukan Cinta Biasa (Kool FM)

* Drama Pilihan Tonton VIP: Zahir Tak Terucap (Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd)

* Selfie Paling Drama: Ain Edruce

Berita Harian X