Selasa, 8 Mei 2018 | 2:04pm
UYAINA Arshad mengharumkan nama negara apabila menjuarai Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 malam tadi.
UYAINA Arshad mengharumkan nama negara apabila menjuarai Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 malam tadi.

Uyaina dinobat Puteri Muslimah Asia 2018

KUALA LUMPUR: Pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Naseha Uyaina Arshad menyifatkan, kejayaan merangkul gelaran Puteri Muslimah Asia 2018 sebagai pemangkin untuk mengangkat martabat wanita Islam di mata masyarakat.

Pada pertandingan anjuran stesen TV Indosiar di Jakarta, Indonesia, malam tadi, Uyaina, 27, mengetepikan cabaran daripada 17 peserta lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, selain tiara dan trofi.

"Kemenangan ini cukup manis dan bermakna dalam hidup saya. Diangkat sebagai Puteri Muslimah Asia 2018, pastinya saya memikul tanggungjawab untuk mengangkat martabat wanita Islam supaya menjadi pemangkin kepada masyarakat," katanya.

Pertandingan itu membabitkan penyertaan 18 peserta dari enam negara, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Turki dan Timor Leste serta diadili juri profesional termasuk pelakon popular, Erra Fazira, Yenny Wahid (Indonesia), Siti Rahmawati (Turki), Marina Yusoff (Singapura) dan Daffy (Brunei).

Uyaina mengharumkan nama negara apabila menewaskan pesaing terdekatnya, peserta dari Indonesia, Hanifah Razan yang menduduki tempat kedua, manakala peserta dari Turki, Avida Lale diumumkan sebagai pemenang ketiga.

Avida juga diumumkan sebagai pemenang Puteri Muslimah Kegemaran Asia 2018.

Sementara itu, peserta Brunei Darussalam, Mala Daud meraih Anugerah Puteri Muslimah Persahabatan Asia 2018, manakala Puteri Muslimah Berbakat Asia 2018 dimenangi Beyza Demir (Turki).

Berita Harian X