Selasa, 8 Mei 2018 | 12:23pm
APRENA pernah terfikir menutup akaun laman sosial kerana bimbang lakonannya dikritik peminat. - Foto Aziah Azmee
APRENA pernah terfikir menutup akaun laman sosial kerana bimbang lakonannya dikritik peminat. - Foto Aziah Azmee

Nyaris tutup akaun Instagram gara-gara bimbang dikritik

KUALA LUMPUR: Pelakon Aprena Manrose yang mencipta nama menerusi drama, Tiada Arah Jodoh Kita pernah terfikir untuk menutup akaun laman sosial, Instagram kerana terlalu risau memikirkan maklum balas penonton.

Aprena, 25, berkata, dia hampir berputus asa ketika di lokasi penggambaran kerana bimbang gagal memberikan lakonan berkesan untuk watak Afia Awliya dan kerisauan itu terbawa-bawa hingga ke rumah.

"Bayangkan setiap kali pulang ke rumah, saya menangis dan tidak bercakap dengan suami kerana terlalu tertekan. Ia drama pertama saya membawa watak utama dan lebih mencabar apabila diberikan karakter berat.

"Pernah pada satu peringkat, saya terfikir untuk menutup akaun Instagram kerana risau memikirkan reaksi penonton. Namun, saya bersyukur penat lelah menjayakan drama itu berbaloi apabila ramai menerima kehadiran saya," katanya.

Terlebih dahulu mengikuti kelas lakonan bersama pelakon berpengalaman, Fauziah Nawi, pemilik nama lengkap, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman mengakui, dia juga hampir menarik diri daripada membintangi drama yang ditayangkan pada Februari lalu itu.

"Saya tidak yakin ketika itu, terutama apabila diberi peluang membawa watak utama. Namun, suami, Mohd Afiq Hazman memujuk supaya merebut peluang itu. Katanya, bukan mudah untuk menerima tawaran bagi slot Akasia.

"Sebelum ini, saya lebih selesa menjayakan watak sampingan untuk mencari pengalaman. Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan agak pantas. Apabila sudah mendapat kepercayaan, saya bertekad untuk tidak mensia-siakan peluang," katanya.

Anak kepada penyanyi, Iwan dan Allahyarham Rosnah Mohd Noor bersyukur, rezekinya murah selepas mendirikan rumah tangga.

"Saya bertuah dikurniakan suami yang memahami, cuma saya perlu bijak menjaga batasan diri. Kalau bukan kerana sokongan dan dorongan suami, tidak mungkin nama saya dikenali seperti hari ini," katanya yang mendampingi Shukri Yahaya dan Hafeez Mikail dalam drama siaran TV3 itu.

Berita Harian X