Isnin, 30 April 2018 | 3:21pm
ELLY Mazlein. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Elly sanggup berjuang demi anak

KUALA LUMPUR: Kerap memuat naik status yang menyindir bekas suami di sosial media, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein mengakui, dia tidak akan berhenti berjuang demi masa depan anaknya, Putri Sara Sefhia.

Elly atau nama lengkapnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 38, berkata, dia tidak peduli apa pandangan orang luar terhadapnya kerana sebagai ibu, dia perlu berusaha mempertahankan hak anaknya.

Nama penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu, baru-baru ini kembali menjadi bualan apabila memuat naik status di laman sosial, Instagram mendakwa, selain culas membayar nafkah, bekas suaminya, Azmi Hatta juga sudah lama tidak menjenguk anak mereka.

"Saya tidak pernah menghalang mereka berjumpa. Bagi saya, anak itu pembawa rezeki. Jika kita melaksanakan amanah Tuhan dengan baik, saya percaya pintu rezeki akan terbuka lebih luas. Itu yang cuba saya pertahankan," katanya.

Elly dan Azmi yang juga pengarah drama mendirikan rumah tangga pada 9 November 2014, tetapi berpisah pada 15 Oktober 2015.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengeluarkan perintah supaya Azmi membayar nafkah bulanan kepada anaknya sebanyak RM1,500 pada 12 Oktober tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Elly yang baru selesai menjalankan tugas sebagai pengacara Mentor Otai teruja apabila percubaannya itu menerima maklum balas positif penonton. Elly mengakui, tidak pernah terfikir mampu menjalankan tanggungjawab itu dengan baik.

Bersedia mempelbagaikan cabang seni untuk menambah rezeki, Elly juga terharu apabila lakonannnya membawakan watak antagonis dalam drama Teratai Kemboja untuk slot Zehra di TV3 turut mendapat pujian.

"Saya tidak menyangka percubaan pertama sebagai pengacara diterima baik penonton. Biarpun menerima kecaman pada peringkat awal, saya ambil itu sebagai teguran untuk terus membuktikan kemampuan.

"Mungkin ketika itu, penonton masih belum mengenali karakter sebenar saya. Benarlah kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta. Saya juga teruja membawa watak jahat dalam Teratai Kemboja, terutama apabila lakonan saya berjaya membangkitkan kemarahan penonton.

"Kali pertama melakonkan watak antagonis, saya banyak membuat rujukan dan kajian kerana mahu lakonan saya memberi kesan," katanya.

Berita Harian X