Jumaat, 27 April 2018 | 10:06am
PELAKON, Farah Nabilah, bakal muncul dalam drama Halalkan Hati Yang Ku Curi pada Ramadan ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Farah Nabilah, bakal muncul dalam drama Halalkan Hati Yang Ku Curi pada Ramadan ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
FARAH Nabilah.
FARAH Nabilah.

Simpati kalau ada teman lelaki - Farah Nabilah

KUALA LUMPUR: Pelakon Titian Cinta, Farah Nabilah, mengaku lebih selesa hidup solo berikutan komitmennya terhadap kerjaya seni.

Menurutnya, dia akan berdepan masalah kesukaran membahagikan waktu antara kerjaya dan kehidupan peribadi jika mempunyai teman lelaki.

Farah, 26, turut menjelaskan dia berpegang kepada prinsip tidak terlalu menggembar-gemburkan cerita peribadi, sebaliknya memberikan sepenuh perhatian kepada bidang lakonan.

"Saya sememangnya solo sejak mula menceburi bidang seni. Teman lelaki saya ialah bidang kerja. Saya sendiri terlalu sibuk dengan kerjaya, jadi, pastinya saya akan simpati andai mempunyai kekasih kerana tiada masa untuk dirinya.

"Sejak di bangku sekolah dan kolej lagi, saya memang tidak suka bercerita mengenai kehidupan peribadi. Perkara itu hanya diketahui oleh keluarga terdekat.

"Bagaimanapun, saya masih lagi berkawan dengan bekas teman lelaki kerana kami mempunyai kelompok kawan yang sama. Jika ada kelapangan masa pula, saya lebih selesa bersama keluarga. Saya bukan jenis yang suka bersosial," katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan terkini, Farah baru saja selesai menjalani penggambaran drama 27 episod berjudul Halalkan Hati Yang Ku Curi.

Drama yang dijadualkan bersiaran menerusi slot Akasia pada Ramadan itu turut menampilkan Alif Aziz selaku teraju utama.

Bercerita soal lakonan, Farah berkata, selalunya dia akan mengadakan perbincangan dengan teman gandingan mengenai pantang larang masing-masing sebelum memasuki set penggambaran.

"Lazimnya, saya berbincang terlebih dulu dengan gandingan mengenai apa yang boleh atau sebaliknya ketika berlakon. Saya tidak mahu melanggar batasan kerana status pelakon kita adalah pelbagai. Saya, umpamanya, turut memiliki prinsip tersendiri. Apa yang boleh dielak, saya cuba hindarkan.

"Kita pun ada pelbagai teknik kamera untuk menggambarkan sesuatu keadaan. Saya amat memahami sekiranya ada pihak yang menjaga sensitiviti dalam lakonan," kata Farah.

Berita Harian X