Rabu, 25 April 2018 | 2:04pm
FENDY mengadu sakit kepala dan badan lemah sejak awal bulan ini hingga terpaksa menangguhkan semua komitmen seni.

Sakit misteri, Fendy berubat di kampung

KUALA LUMPUR: Sakit kepala dan badan lemah hingga tidak mampu berbuat apa-apa.

Begitulah keadaan pelakon utama drama Mr Grey, Fendy Bakry yang didakwa mengalami penyakit misteri, sejak awal bulan ini. Berikutan itu, Fendy yang berusia 30 tahun, terpaksa berubat di kampungnya di Perlis.

Syarikat pengurusannya, Prokuya Studios mengesahkan Fendy tiba-tiba jatuh sakit hingga terpaksa menunda semua komitmen seni hingga keadaannya pulih.

Pengurus Besar, Fadzil Zahari memberitahu, ketika hampir menamatkan penggambaran drama Mr Grey di ibu negara dan Melaka, awal bulan ini, Fendy tiba-tiba mengadu sakit.

"Fendy mengadu sakit kepala dan badan jadi lemah. Keadaan itu berlarutan hingga sekarang. Dia sedang dirawat di kampung dan kita berharap semua pihak mendoakan kesihatannya.

"Fendy juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat yang sentiasa menyokong dan mendoakan dirinya cepat sembuh," katanya.

Fadzil yang juga suami kepada pelakon dan pengacara, Yana Samsudin menambah, pihaknya kesal temujanji sesi fotografi bersama wartawan, baru-baru ini, terpaksa dibatalkan berikutan keadaan Fendy.

"Perkara itu amat dikesali. Fendy amat bersalah dengan apa yang terjadi. Kita juga tahu ada wartawan yang tidak mendapat maklum balas daripada Fendy sama ada melalui panggilan telefon atau kiriman mesej," katanya.

Selain Fendy, drama Mr Grey yang semakin popular sekarang turut menampilkan Eyra Hazali. Drama disiarkan Astro Ria itu dijangka berakhir pada 10 Mei depan.

Berita Harian X