Selasa, 24 April 2018 | 9:04pm
PENYANYI, Alif Satar (kiri) dan Siti Nordiana bakal menjayakan konsert di Singapura pada Ogos depan. - Foto Salhani Ibrahim
PENYANYI, Alif Satar (kiri) dan Siti Nordiana bakal menjayakan konsert di Singapura pada Ogos depan. - Foto Salhani Ibrahim

Sebenarnya satukan Nana, Alif

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar dipertemukan dalam lakonan, jodoh Alif Satar dengan Siti Nordiana juga sangat kuat di arena seni suara apabila mereka bakal muncul bersama single duet, Sebenarnya.

Karya ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo itu juga dipilih sebagai lagu tema drama rantaian terbaru lakonan mereka, Pengantin Musim Salju.

"Ketika mula-mula dimaklumkan Nana memilih saya sebagai rakan duet untuk lagu ini, jujurnya agak terkejut juga. Maklumlah, genre muzik kami berbeza.

'Begitupun, berikutan kami mempunyai drama lakonan bersama, saya bersetuju untuk menjayakan projek ini," kata Alif ketika ditemui pada majlis sidang media Just Us - Alif Satar & Siti Nordiana Live Concert In Singapore, di sini hari ini.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana pula berkata, keserasian yang wujud antara dirinya dengan Alif membuatkan beliau memilih penyanyi Lelaki Seperti Aku itu untuk menjadi teman duet.

"Peminat jugalah yang sebenarnya menyarankan kami untuk berduet selepas masing-masing seronok melihat gandingan saya dan dirinya. Lagu baharu ini juga akan dinyanyikan pada konsert kami nanti," ujar artis berusia 33 tahun ini.

Dua selebriti terbabit mencetuskan fenomena tersendiri apabila mereka dipadankan dalam drama rantaian, Dia Semanis Honey, dua tahun lalu.

Sementara itu, konsert berkenaan yang julung kali menggandingkan mereka berdua bakal berlangsung di Shine Auditorium, Shaw Tower, Singapura, pada 31 Ogos depan.

Tiket menyaksikan persembahan dua artis popular terbabit boleh didapati dengan melayari www.rosevalley.sg mulai hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X