Ahad, 22 April 2018 | 12:27pm
PENYANYI dan Pengasas Manno Resources Sdn Bhd, Aiman Tino pada Majlis Pelancaran Jus Manno di Quill City Mall. - Foto Saddam Yusoff
PENYANYI dan Pengasas Manno Resources Sdn Bhd, Aiman Tino pada Majlis Pelancaran Jus Manno di Quill City Mall. - Foto Saddam Yusoff

Aiman Tino kena penyakit misteri?

KUALA LUMPUR: Pada usia 19 tahun, Aiman Tino memiliki segala-galanya dengan satu persatu kejayaan digenggam penyanyi remaja ini.

Bukan saja mencetuskan fenomena, malah lagu Ku Rela Dibenci yang memperkenalkan penyanyi kecil molek ini di persada seni suara melakar sejarah apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Lagu ciptaan ibu bapanya, Yusri Ishak dan Hazelina Mat Jalil itu meraih lebih 43 juta tontonan di laman Youtube, menjadikan Aiman satu-satunya penyanyi muda yang mendapat pengiktirafan berdasarkan rekod tontonan tertinggi.

Pemilik nama penuh Mohammad Aiman Yusri ini menjadi rebutan ramai apabila beberapa produk berlumba-lumba mengangkat dirinya sebagai duta sehingga dihadiahkan kereta mewah Audi R8 bernilai hampir RM1 juta bersama pemandu peribadi.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan cemerlangnya, Aiman kini diuji dengan masalah kehilangan vokal. Dia sukar untuk menyanyi atau mengawal suara. Lebih parah, suaranya sering hilang setiap kali mahu mengadakan persembahan.

Tenang merungkai segala persoalan, Aiman memberitahu BH Online:

"Ya betul, suara saya terganggu dan menjadi garau.

"Mulanya, saya masih positif dan menganggap saya keletihan sehingga kehilangan suara. Saya juga akui tidak cukup rehat selepas Ku Rela Dibenci menjadi siulan ramai.

"Dulu, saya memenuhi undangan nyanyian sehingga tiga acara setiap hari. Saya terkejar-kejar dan penatnya hanya Tuhan yang tahu.

"Saya fikir mungkin saya letih dan kurang berehat. Daripada segi psikologi pula, jika akal fikiran mengatakan diri terlalu penat, kehilangan suara adalah perkara biasa.

"Bagaimanapun, ada beberapa ciri yang memberikan petanda saya mungkin terkena penyakit misteri."

Akui Aiman, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada suaranya sejak akhir tahun lalu.

"Saya sudah melakukan pemeriksaan di hospital. Doktor memasukkan kamera untuk melihat mungkin ada kecederaan pada tekak saya, tetapi tiada apa-apa ditemui mereka.

"Vokal saya masih terganggu dan ada kala mengeluarkan suara garau. Ketika itu, saya masih memikirkan mungkin saya penat, tetapi apa yang pelik, suara saya 'okay' sekiranya berehat di rumah selama beberapa hari.

"Bagaimanapun, suara mula kedengaran lain apabila mahu mengadakan persembahan. Ikut logiknya, saya sudah berehat selama beberapa hari, tentunya tidak lagi kepenatan. Tetapi, kenapa suara saya tiba-tiba bertukar atau hilang?" katanya.

"Penyanyi kelahiran Kuala Kubu Bharu itu berkata, berikutan keadaan itu, ramai yang menasihatkannya bertemu dengan pakar perubatan Islam atau ustaz.

"Saya bagaimanapun belum sempat bertemu dengan mereka. Lagipun, saya tidak tahu mahu merujuk pada siapa, saya bukannya 'kaki bomoh'.

"Sehingga hari ini, saya masih mampu bertahan. Jauh di sudut hati, saya menyerahkannya pada kuasa Allah. Tengok bagaimana keadaannya dan saya mungkin tidak boleh terus membiarkannya jika ia semakin teruk," katanya.

Aiman yang juga anak keempat daripada 10 adik-beradik itu berkata, dia kini lebih berhati-hati selepas berdepan dengan masalah kehilangan suara.

"Mungkin di depan saya, ada pihak yang senyum. Tetapi di belakang, saya tidak tahu isi hati masing-masing atau apa yang mereka lakukan? Saya pula tidak mahu menuduh sesiapa dan tak pernah menganggap orang sebagai jahat. Apa pun, saya lebih berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali.

"Disebabkan itulah, saya perlukan ibu bapa menemani saya ke mana saja saya pergi, terutama jika terbabit dengan persembahan.

"Saya masih remaja dan mungkin ada yang anggap saya budak-budak. Jadi, orang pun takut mahu mengambil kesempatan jika saya bersama ibu atau bapa," katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi ini berkata dirinya mula jatuh cinta pada dunia lakonan selepas membintangi drama bersiri, Mak Cun, arahan Erma Fatima.

"Saya pernah meluahkan hasrat pada ibu untuk mencuba bidang lakonan. Tidak sangka, pertemuan dengan Erma di Langkawi membuka jalan buat saya menceburi bidang ini.

"Walaupun pada awalnya ia sudah menimbulkan salah faham apabila babak dilempang pelakon berpengalaman, Fazlina Ahmad Daud, menjadi pertikaian peminat, tetapi saya tidak melihatnya sebagai perkara yang harus diperbesarkan.

"Saya sendiri yang memberitahu Fazlina, saya sukar mahu menitiskan air mata dan memintanya membantu saya. Babak itu hanya diambil sekali saja, tetapi menjadi.

"Penangan Fazlina membuatkan saya betul-betul menangis. Itulah yang saya inginkan, saya tidak mahu berlakon dengan buat-buat menangis. Apa pun, saya seronok mendapat pengalaman berharga apabila bekerja dengan pelakon dan pengarah berpengalaman," katanya.

Berita Harian X