Jumaat, 6 April 2018 | 10:09am
SUFIAN Suhaimi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tak kisah dilabel 'raja lagu sedih'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi, tidak kisah dilabel 'raja lagu sedih' jika ia bermakna karya dendangannya mendapat perhatian ramai.

Kata penyanyi yang baru saja muncul dengan single Di Matamu, kebetulan ketika ini lagu balada mendayu-dayu memang mendapat tempat di hati pendengar.

Lagu terbaru Sufian hasil ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen cepat menangkap perhatian peminat apabila video muziknya meraih hampir 10 juta tontonan sejak dimuat naik ke YouTube pada 22 Mac lalu. Ia juga berada pada kedudukan pertama video sohor kini di laman terbabit sejak dua minggu lalu.

"Sebenarnya, lagu sebegini sudah diminati pendengar muzik sejak era 1980-an lagi. Saya sendiri tidak kisah jika orang hendak melabelkan saya sebagai 'raja lagu sedih' sebab karya sebegitu yang mendapat tempat di hati mereka.

"Malah, sebelum video muzik Di Matamu dilancarkan lagi, ramai yang sudah menyanyikannya semula sebagai lagu 'cover'. Ia bukan saja dilakukan oleh peminat, bahkan dalam kalangan artis juga. Ia bermakna, lagu ini mendapat tempat dan diterima ramai," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Malaysian Floor Pattern Sport Dance Competition 2018 di Istana Budaya.

Walaupun tidak selama-lamanya akan menyajikan karya sedemikian, kata Sufian, 26, beliau seboleh-bolehnya cuba mengembalikan lagu berkonsepkan cinta, seperti singlenya sebelum ini, Terasa Ada.

"Saya juga berasakan sudah sampai masanya untuk saya tampilkan karya bagi meraikan cinta secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada hubungan percintaan.

"Begitupun, mungkin kisah putus cinta dekat dengan masyarakat kita, justeru ia membantu lagu mendayu nyanyian saya mendapat perhatian.

"Saya sendiri tidak kisah andainya orang ramai ingin menjadikan lagu nyanyian saya sebagai pengubat duka lara mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan pelakon, Fathia Latiff, yang menyanyikan semula lagu terbabit dalam versinya sendiri, dengan lirik yang turut diubah, Sufian tidak menganggap tindakan wanita terbabit sebagai salah.

"Saya tidak tahu apa motifnya dia berbuat begitu? Kalau itulah cara dia hendak berkarya, saya harus memberikan pujian. Selagi lagu itu tidak menyentuh sensitiviti dan hal peribadi saya, ia tidak menjadi kesalahan.

"Ia cara dirinya menghasilkan lagu 'cover' dan dalam masa sama turut mempromosikan Di Matamu," jelasnya.

Berita Harian X