Khamis, 29 March 2018 | 3:30pm
KUMPULAN Padi akan menghiburkan peminat di ibu kota pada Jun depan.
KUMPULAN Padi akan menghiburkan peminat di ibu kota pada Jun depan.
KUMPULAN Radja.
KUMPULAN Radja.

Padi, Radja bakal jayakan konsert di KL

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi lokasi pilihan artis Indonesia untuk beraksi apabila dua kumpulan muzik terkenal negara itu, Padi dan Radja, masing-masing bakal mengadakan konsert secara berasingan, di sini.

Radja terlebih dulu akan menghiburkan peminat dalam Konsert Radja Malaikat Cinta pada 5 Mei depan di StarXpo Centre, KWC Fashion Mall, manakala Padi, yang kini dikenali sebagai Padi Reborn, bakal tampil dalam konsert perdana mereka di KL Live, pada 30 Jun.

Kemunculan kedua-dua kumpulan terbabit pasti ditunggu peminat masing-masing di sini, apatah lagi mereka mempunyai deretan lagu yang menjadi siulan ramai.

Radja bersama muzik rock kapak yang diperjuangkan mereka, umpamanya, cukup popular dengan lagu Jujur, Takkan Melupakanmu dan Bilang Cinta. Kumpulan itu juga terbang ke ibu negara sempena kemunculan single terbaru, Malaikat Cinta.

Kali akhir Radja mengadakan persembahan di sini adalah pada 2006.

Dianjurkan oleh Belbis Sdn Bhd bersama AV Group & Symphony Music, tiket berharga antara RM85 hingga RM285 kini boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com.

Sementara itu, Padi yang mempunyai banyak lagu popular seperti Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah dan Kasih Tak Sampai, menjanjikan persembahan berbaloi untuk peminat tegar mereka yang dikenali sebagai Sobat Padi.

"Kami cukup terharu kerana buat julung kalinya akan menggunakan nama Padi Reborn untuk konsert solo nanti.

"Persembahan di Malaysia ini juga menjadi lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah jemu memberikan sokongan, walaupun ketika Padi hilang seketika, dan kini muncul kembali," kata pemain gitar kumpulan itu, Piyu, dalam kenyataan dikirimkan kepada BH Online.

Konsert anjuran Qew Comm terbabit akan turut menyaksikan kumpulan tempatan, Pitahati, yang terdiri daripada Ilham, Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat, diundang sebagai artis pembuka tirai.

Maklumat dan tiket konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL boleh didapati dengan melayari www.buytickets.com.my.

Berita Harian X