Sabtu, 10 March 2018 | 2:26pm
FARAH Nabila . - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Farah Nabilah penat jadi baik

KUALA LUMPUR: Impak drama Titian Cinta pernah membuat pelakon Farah Nabilah gusar jika berterusan ditawarkan watak yang sama.

Namun, jangkaan pelakon yang bergandingan dengan Zul Ariffin dalam drama yang mencetus fenomena itu meleset apabila dia diberikan peluang meneroka karakter berbeza.

Farah berkata, dia bertuah apabila penerbit mula memberi kepercayaan untuk dia mempelbagaikan lakonan, termasuk membawa karakter antagonis.

"Selepas kejayaan Titian Cinta, saya risau jika terus diberikan watak baik. Ia sering berlaku kepada kebanyakan pelakon. Malah, ada beberapa drama yang menawarkan karakter hampir sama dengan Aish dalam Titian Cinta.

"Mujur, saya berjaya lari daripada karakter baik apabila diberikan watak antagonis menerusi drama Halalkan Hati Yang Ku Curi untuk slot Akasia di TV3 pada Ramadan nanti. Ia lakonan pertama saya membawakan karakter jahat," katanya.

Akur jangka hayat populariti seseorang pelakon sukar diramal, Farah berkata, dia perlu mempelbagaikan karakter untuk memastikan penonton melihat sisi berbeza dalam lakonannya.

Tidak menafikan selama ini lebih kerap diberikan watak baik atau wanita teraniaya, Farah berkata, dia tidak mampu menolak kerana lakonan adalah punca rezeki utama.

"Pada masa sama, saya juga berharap diberi watak yang menguji. Sementara dikenali, saya mahu menunjukkan kepelbagaian sisi lakonan. Lagipun, susah untuk kita meramalkan sejauh mana kita mampu bertahan dalam industri.

"Ketika masih diterima, saya mahu berikan hasil kerja yang mampu menambah warna kepada kemunculan saya," katanya

Sementara itu, Farah berkata, selain lakonan, dia juga ingin mempelbagai cabang seni terutama pengacaraan, selain menyimpan impian untuk mengendali program masakan sendiri.

"Saya masih baharu dalam industri dan perjalanan juga masih jauh. Selain lakonan, saya ingin mencuba bidang berbeza untuk mengukuhkan lagi jenama. Saya terbuka dengan apa saja tawaran yang datang," katanya.

Berita Harian X