Isnin, 19 Februari 2018 | 1:18pm
NORA Ariffin.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NORA Ariffin.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Jubah arwah teman tidur Nora

KUALA LUMPUR: Terlalu sukar untuk melupakan insan yang meninggalkan banyak kenangan dalam hidup. Hampir setahun pemergian suami tercinta, penyanyi popular, Nora Ariffin, mengakui masih belum dapat menerima hakikat lelaki yang disayanginya itu sudah kembali menemui Maha Pencipta.

Bukan menafikan takdir yang sudah ditentukan, cuma kata Nora, pemergian mengejut suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, ketika masih dahagakan kasih sayang dan perhatian membuatkan dirinya dihambat kesedihan.

Perasan luluh dan ralat masih membekas dalam hatinya, malah akui Nora, ada ketika jiwanya terlalu rapuh, terutama apabila perasaan rindu terhadap arwah datang mengetuk pintu hati.

"Jujur saya akui, sampai hari ini saya masih tak percaya arwah sudah tiada. Kenapa semua ini berlaku kepada saya? Bukan menolak takdir, cuma pemergiannya yang mengejut membuatkan saya berasa seperti separuh daripada jiwa turut dibawa bersamanya.

"Selepas pemergiannya, hidup saya berendam air mata sehingga ia memberi kesan kepada daya penglihatan. Bulan depan, genap setahun Johan meninggalkan kami dan tiada satu saat pun saya melupakan arwah.

"Apabila teringat dan perasaan rindu menjelma, selain mendoakan yang terbaik untuknya di alam sana, saya jadikan jubah yang pernah dipakainya sebagai selimut untuk menemani tidur," tutur Nora perlahan dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Johan yang juga komposer terkenal meninggal dunia pada tanggal 24 Mac lalu, jam 6.30 pagi, akibat serangan jantung. Pemergiannya pada hening Subuh Jumaat itu mengejutkan semua pihak, terutama karyawan dan peminat seni.

Terpisah dalam dunia yang berbeza, namun kata Nora, mimpi menjadi perantara mereka bertemu, sekali gus meleraikan rindu yang tidak tertanggung.

"Saya selalu berdoa semoga kami dipertemukan dan Tuhan memperkenankan permintaan itu apabila arwah datang dalam mimpi. Arwah memeluk, memberi kucupan dan sering menghadiahkan senyuman. Apabila terjaga, saya anggap semua itu sebagai petanda arwah mahu saya tahu semangatnya tetap menemani, walaupun jasadnya tiada di sisi.

"Dari situ, timbul kekuatan untuk saya bangkit dan berjuang meneruskan kehidupan bersama anak-anak tercinta," cerita pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin ini dalam nada sebak.

Walaupun cuba menahan diri daripada menitiskan air mata, Nora gagal melawan kesedihan apabila manik jernih itu gugur juga.

Membiarkan seketika Nora larut dalam emosi sebelum menyambung semula perbualan, bekas pemenang Bintang HMI 1991 ini berkata, tempoh edah adalah fasa paling sukar dalam hidupnya.

Kata Nora, jiwanya kusut kerana tidak tertanggung dengan bebanan ujian yang dihadapinya ketika itu.

"Sebelum ini, saya banyak bergantung kepada arwah suami dalam pelbagai perkara, terutama dari segi kerjaya. Kini, semuanya saya terpaksa lakukan sendiri, termasuk kerjaya, bisnes dan menguruskan rumah tangga.

"Ia membuatkan saya tertekan. Pernah suatu ketika, terlintas di fikiran untuk saya pergi jauh membawa diri dan tinggalkan anak-anak. Seorang teman bagaimanapun, menasihatkan supaya saya fikirkan anak-anak sebelum membuat sebarang keputusan yang menjanjikan kebahagiaan sementara," cerita ibu kepada empat cahaya mata ini.

Kehadiran Nora ke Balai Berita, baru-baru ini, turut membawa hajat untuk mempromosikan single terbarunya, Ada Dalam Tiada, hasil ciptaan Sirkhan Danial dan lirik nukilan Habsah Hassan.

Cerita Nora, lagu itu terhasil atas saranan Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah dalam kalangan penggiat seni.

"Saya bertemu Kak Chah untuk membincangkan soal royalti kerana ketika itu, saya dalam proses menyiapkan album kompilasi, Tribute Johan Nawawi 30 Tahun. Apabila saya memberitahunya perkara itu, Kak Chah menyarankan supaya merakamkan lagu baharu sebagai pelengkap.

"Lagu ini menyaksikan kali pertama saya bekerja dengan komposer baharu dan muda. Memang seronok kerana kami saling menghormati antara satu sama lain.

"Walaupun saya penyanyi berpengalaman, dia berhak menegur jika ada kekurangan dalam nyanyian saya. Anggap saja saya seperti orang baharu," katanya.

Bercerita lanjut, album itu akan memuatkan 29 karya ciptaan Johan, termasuk lagu daripada penyanyi terkenal lain seperti Datuk Sheila Majid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Mengikut perancangan awal, album ini sepatutnya diterbitkan tahun lalu sempena sambutan ulang tahun ke-30 Johan dalam bidang seni. Hasrat itu tidak kesampaian dan saya cuba lunaskan juga projek impiannya itu," kata penyanyi lagu Hanyalah Satu ini.

Berita Harian X