Jumaat, 9 Februari 2018 | 3:53pm
BEKAS pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh memaklumkan, bapanya yang meninggal dunia di Madinah

'Abah pesan jaga ummi' - Iesya Toh

KUALA LUMPUR: Bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh memaklumkan, bapanya yang meninggal dunia di Madinah, semalam sempat berpesan supaya dia menjaga ibunya dengan baik ketika berbual menerusi aplikasi WhatsApp.

Iesya berkata, walaupun pelik dengan permintaan arwah bapanya itu, dia tidak bertanya lanjut, sebaliknya leka mendengar cerita arwah yang berulang kali menyatakan terima kasih kepadanya atas hadiah cukup bermakna itu.

"Saya memberitahu abah mengenai program umrah ini, sebulan lalu. Abah nampak teruja dan tidak sabar mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Arwah yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung begitu bersemangat mahu menjadi tetamu Allah.

"Sehari sebelum bertolak, saya mula nampak perubahan sikap arwah. Abah kurang bercakap dan ketika di lapangan terbang, saya ada bertanya kerana bimbang jika arwah tidak sihat. Arwah cuma memberitahu, sukar melelapkan mata.

"Saya fikir mungkin abah berdebar menunggu masa untuk berangkat. Sebaik tiba di Tanah Suci, arwah sentiasa cergas. Kami sempat beberapa kali berhubung menerusi WhatsApp menggunakan telefon ummi (ibu)," katanya.

Iesya berkata, arwah bapanya tidak membawa telefon bersama dengan alasan tidak mahu ibadahnya terganggu.

"Kami adik-beradik sempat mengusiknya, nanti susah mahu ambil gambar tanpa telefon. Mutawif juga memaklumkan abah cukup seronok di sana, malah sering menjadi orang terawal ke masjid.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian abah," kata anak sulung tiga bersaudara itu kepada BH Online.

Terdahulu, bapa Iesya, Sanny Toh Abdullah, 65, disahkan meninggal dunia di Madinah selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital, kira-kira jam 11 pagi semalam waktu Malaysia.

Allahyarham rebah pada Rabu lalu ketika menuju ke Makkah bagi menunaikan ibadah umrah. Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Nabawi selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Baqi'.

Berita Harian X