Rabu, 31 Januari 2018 | 4:28pm
INTAN Najuwa memuat naik gambar bersama kekasihnya di laman sosial.- Foto ihsan instagram intannajuwa
INTAN Najuwa memuat naik gambar bersama kekasihnya di laman sosial.- Foto ihsan instagram intannajuwa

Intan takut obsesi peminat

KUALA LUMPUR: Obsesi peminat terhadap drama Kekasih Paksa Rela yang sedang disiarkan di slot Akasia TV3 mendorong heroinnya, Intan Najuwa memuat naik gambar bersama kekasihnya di laman sosial.

Intan,20, memberitahu, dia mahu mengalihkan tumpuan netizen daripada drama 28 episod itu seketika dengan berkongsi gambar bersama buah hatinya itu.

"Sebenarnya saya takut melihat fokus keterlaluan peminat terhadap drama Kekasih Paksa Rela hingga ada yang bertelagah di laman sosial. Jadi, saya cuba mengalih tumpuan dengan memuat naik gambar bersama kekasih.

"Tidak sangka pula, perkongsian itu membangkitkan isu apabila ada yang meninggalkan komen lebih suka melihat saya bersama Remy Ishak iaitu gandingan saya dalam drama itu. Pening dibuatnya dengan permintaan peminat yang kadang kala lucu.

"Saya dan kekasih sebenarnya sudah tiga tahun berkawan, namun sekali-sekala ada saja saya memuat naik gambar bersama. Tidak sangka, dia pula turut menjadi bahan gosip pula menerusi perkongsian saya itu," katanya kepada BH Online.

Semakin mencipta nama menerusi watak Hanan Khaira, Intan menafikan perkongsian yang dibuat adalah untuk menutup dakwaan timbulnya 'cinta lokasi' bersama Remy.

"Saya menghormati Remy seperti abang sendiri memandangkan jarak usia kami jauh sebenarnya. Kalau dilihat adegan romantis kami, sebenarnya bukan mudah untuk mewujudkan keserasian itu.

"Kami pernah bergandingan bersama sebelum ini, namun sebagai abang dan adik, tetapi apabila ditawarkan untuk bercinta, janggal sungguh rasanya. Malah, saya pernah 'down' kerana tidak dapat memberikan lakonan mengikut kehendak pengarah.

"Alhamdulillah.. walaupun ada yang memberikan komen negatif dan sebagainya mengenai lakonan saya, namun itu semua menjadi pembakar semangat buat saya," kata bekas blogger berasal dari Johor Bharu itu.

Berita Harian X