Selasa, 30 Januari 2018 | 12:00am
AINUL Aishah dan Nadia Brian sudah lama berkawan baik. - Foto Syarafiq Abd Samad
NADIA bersama Ainul di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, 13 Januari lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad
NADIA bersama Ainul Aishah di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, 13 Januari lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Ainul 'pelindung' Nadia

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai tidak tahu pelakon, Ainul Aishah dan Nadia Brian sudah lama berkawan baik. Berkenalan sejak zaman remaja, Ainul dan Nadia macam belangkas atau mengikut istilah sekarang 'bestie' dan 'bff' (teman rapat).

Menginjak usia dewasa, apatah lagi dalam dunia hiburan yang penuh pancaroba, Ainul dan Nadia bagai 'tag team' (pasukan) yang sering ingat-mengingati berdepan jatuh bangun anak seni.

Menemui dua teman baik ini, masing-masing tidak lekang memuji antara satu sama lain serta bercerita kisah lama.

Nadia menganggap Ainul sebagai pendorong utama untuk mengejar impian dalam dunia lakonan.

"Melihat usianya, Ainul umpama kakak yang selalu melindungi adik. Kami saling melindungi antara satu sama lain.

"Ketika mula mencari tapak dalam dunia seni, saya tak tahu 'rupa' dan realiti bidang hiburan. Seiring dengan pengalaman dirinya yang lebih dulu menjadi artis, banyak nasihat dan pengalaman diceritakan Ainul," katanya kepada BH Plus.


NADIA bersama Ainul Aishah di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, 13 Januari lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Berkat nasihat Ainul, Nadia bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan dan sepak terajang dunia seni.

"Ainul jujur menegur saya apabila menyedari sesuatu kemungkinan berlaku. Sering apa yang diberitahunya, menjadi betul. Kami juga selalu menasihati antara satu sama lain." katanya.

Nadia yang kini berusia 29 tahun, mengenali Ainul ketika berusia 19 tahun. Pantasnya masa berlalu di mana mereka kini sudah menginjak alam dewasa di mana Ainul ketika ini berusia 33 tahun.

Dua teman baik ini bertemu ketika Nadia terbabit dengan projek filem pendek dan Ainul datang menemani temannya di lokasi penggambaran yang sama.

Bercerita mengenai gelagat ketika bersama, Nadia berkata, mereka ada gelaran untuk diri masing-masing.

"Saya panggil Ainul dengan gelaran 'Bun'. Dia panggil saya 'Bum' pula," katanya ketika ditemui di Festival GegaRia di Shah Alam, baru-baru ini.

Nadia berkata, mereka juga mempunyai minat sama dalam dunia kecergasan.


PELAKON, Nadia Brian. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Kami suka menjaga badan. Ia memberi kepuasan diri selain dapat menjaga stamina. Pernah juga kami terfikir, kenapa tidak bergabung menubuhkan kumpulan senaman.

"Namun, kesibukan masing-masing membataskan segala usaha. Saya sibuk, dia lapang, begitulah sebaliknya," katanya.

Tak jamin bebas kontroversi

Beralih kepada karier, hampir empat tahun menceburi pentas seni, Nadia mengaku dirinya belum cukup meninggalkan impak dalam kalangan peminat.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini sedar namanya jarang dihimpit kontroversi seperti segelintir artis lain yang pantas mengukir nama sekalipun bakat seni belum teruji.

Hakikatnya, Nadia tidak putus ditawarkan berlakon.

"Mungkin saya tiada kontroversi yang boleh 'menghangatkan' nama saya. Saya sedar ada yang melihat kontroversi sebagai ruang melonjakkan nama hingga pengikut di laman sosial bertambah.

"Tetapi saya seboleh-bolehnya mengelak begitu. Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya mahu ikut platform yang betul dan bangga kalau ada yang mengikuti saya di laman sosial disebabkan mutu lakonan," katanya.

Akui Nadia, dia bukanlah skeptikal terhadap kontroversi.

"Bagi saya kontroversi tetap ada sisi baik dan buruk. Cuma janganlah kita terlampau mencari kontroversi hingga lupakan niat sebenar terjun dalam dunia seni.

"Namun, saya sendiri tak boleh ramal apakah perjalanan seni ini akan lancar tanpa kontroversi," katanya.

Sibuk di lokasi

Memasuki tahun baharu, Nadia membintangi drama Zam dan Shah arahan Jamal Khan bagi slot Iris di TV3.

"Drama Zam dan Shah ada dua hero selain menampilkan pelakon cameo hebat antaranya seperti Vanidah Imran dan Rozita Che Wan.

"Selesai penggambaran drama itu, saya masuk ke set baharu iaitu projek drama slot Zehra, Teratai Kemboja arahan Along Kamarudin. Drama ini ditunjangi Elly Mazlein dan Datuk Adi Putra," katanya.

Nadia bersyukur rezeki berlakon tidak pernah putus.

"Insya-Allah kalau tiada aral melintang, saya akan berlakon filem di bawah arahan Ahmad Idham, tidak tak lama lagi," katanya.

Nadia berkata, dia juga akan terbabit dengan teater bangsawan membabitkan usaha sama dengan temannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Perdana Shah Alam.


PELAKON, Ainul Aishah. - Foto Aziah Azmee

Teringin berlakon bersama

Ainul mengaku dia dan Nadia serasi dalam banyak perkara selain sering meluangkan masa bersama.

"Nadia adalah kawan yang saya boleh rujuk kalau hendak mengadu, menangis atau 'jiwa kacau'. Kami boleh bercakap mengenai apa sahaja berkait hal peribadi dan kehidupan. Kami boleh hubungi sesama sendiri pada bila-bila masa. Malah, sambil mandi pun pernah kami berbual menggunakan aplikasi speaker pada telefon bimbit.

"Sama juga keadaannya apabila sedang mengeringkan rambut. Kami boleh berborak lama. Saya dan Nadia juga suka menyakat umpama kakak dan adik," katanya.

Ainul mengaku lumrah berkawan, ada kalanya berlaku pergeseran.

"Biasalah dalam persahabatan. Sekejap gaduh dan merajuk, kemudian baik balik. Begitulah adat berkawan, ada fasa turun naik.

"Masing-masing pernah buat silap. Saya sedar dalam berkawan mesti ada usaha untuk menjernihkan keadaan yang hambar. Kalau kawan buat salah, jangan terus buang. Kita kena beri peluang," katanya.

Pada masa sama, Ainul berharap dia dan Nadia dapat berlakon bersama.

"Sepatutnya, kami berlakon sama, tetapi projek itu tidak menjadi," katanya.

Tak sorok kekasih

Selain berlakon, Ainul memberi perhatian kepada perniagaan biskut yang diusahakannya, A Cookies selain gemar bersenam.

"Drama terakhir saya adalah Seputih Cinta Rangbulan. Selepas itu, tiada lagi tawaran berlakon. Jadi saya dapat fokus kepada dunia perniagaan dan bersenam," katanya.

Pada laman sosial Instagram, Ainul sering berkongsi gambarnya bersama cinta hati, Khalid Redzuan termasuk ketika mereka bersenam di gimnasium.

"Saya memang terbuka soal itu. Saya jenis yang tak sorok termasuklah soal kekasih. Tiada apa yang nak disembunyikan.

"Kami sudah hampir setahun rapat. Soal kahwin itu, saya sendiri sudah bersedia. Ada jodoh, adalah," katanya.

INFO
Nadia Brian

  • Mula dikenali menerusi drama Akulah Balqis yang disiarkan menerusi TV3 pada 2015.
  • Turut membintangi filem Blok 404, arahan Azma Aizal Yusoof yang menampilkan Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Aedy Ashraf dan Adrea Abdullah.
  • Pernah dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-30 (ABPBH 3.0).
  • Lulusan Diploma Seni Persembahan dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ainul Aishah

  • Nama penuh Ainul Aishah Azizun
  • Mula aktif berlakon sejak 2008 dan memperlahankan kerjaya lakonannya pada 2011.
  • Pernah mencuba nasib sebagai penyanyi beberapa tahun lalu.
Berita Harian X