Ahad, 28 Januari 2018 | 4:07pm
PELAKON muda, Farah Nabilah. - Foto Aziah Azmee

Farah Nabilah tak mahu peminat salah tafsir

KUALA LUMPUR: Niat memberi inspirasi kepada gadis seusia selain berkongsi pandangan memperkasakan wanita pada sebuah program, nampaknya menjerat pelakon muda, Farah Nabilah ke kancah kontroversi.

Farah atau lebih mesra disapa Fawaa berkata, dia tidak menyangka, kehadirannya pada majlis itu mencetus polemik dalam kalangan peminat kononnya dia sedang berjinak-jinak menceburi dunia politik.

Menganggap peminat tersalah tafsir, Farah berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak lagi menerima undangan program anjuran parti politik kerana tidak mahu kontroversi sama berulang.

"Sebenarnya, perkara begini iaitu hal politik adalah hak kita. Kehadiran saya pada majlis itu baru-baru ini adalah suatu pengalaman.

"Sebelum ini, saya tak pernah sertai mana-mana acara sebegitu. Jadi, sekarang selepas apa yang berlaku, saya akan cuba elak dan menjaga hati semua pihak.

"Namun, jika saya dijemput ke majlis anjuran kerajaan dan tidak ada kena mengena dengan politik, sudah semestinya saya hadir," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Farah hadir pada majlis pelancaran Sahabat Puteri Barisan Nasional (BN) yang dinamakan AZALEA 2018 di ibu negara.

Pada majlis itu, Farah terpilih sebagai wakil membincangkan isu memperkasakan wanita dan memberi inspirasi kepada gadis muda.

Namun, kehadiran pelakon Titian Cinta itu disalah anggap kononnya dia sudah terbabit dengan dunia politik.

Farah mengaku terkejut menerima mesej peribadi di Instagram bertanyakan soalan apakah dirinya aktif dalam bidang politik.

"Apabila saya memberi penjelasan, barulah mereka faham," katanya.

Dalam perkembangan lain, Farah bakal muncul dalam telefilem Adam dan Hawa 2 serta cerekarama, Adakah Aku Bersalah berganding dengan Hasnul Rahmat dan Wilma.

Farah juga akan memulakan penggambaran drama Solat dan Halalkan Hati Yang Ku Curi arahan Hashim Rejab.

Berita Harian X