Sabtu, 27 Januari 2018 | 4:10pm
FINALIS Hero Oven, dari kiri, Ikhwan, Amir, Adam dan Alex. - Foto Eizairi Shamsudin
FINALIS Hero Oven, dari kiri, Ikhwan, Amir, Adam dan Alex. - Foto Eizairi Shamsudin

Siapa juara Hero Oven?

KUALA LUMPUR: Selepas melalui 12 episod penuh liku dan mencabar, empat peserta bakal berentap pada peringkat akhir program masakan, Hero Oven musim kedua.

Bersiaran jam 5.30 petang ini di TV3, empat finalis itu ialah Muhammad Adam Mahamed Ismail (Adam), 26; Muhammad Ikhwan Mustafar (Ikhwan), 25; Chai Chee Hung (Alex), 29; dan Amir Hamzah Mohamed (Amir), 31.

Empat peserta berkenaan diberi tugasan menyiapkan tiga cabaran berdasarkan tema diberi, iaitu menyediakan kek dua tingkat, menara macaron dan tiga jenis 'petit fours' untuk jamuan minum petang bertema 'fun and easy'.

Adam berkata, meskipun beliau tidak mempunyai asas dalam penyediaan pastri, dia bersyukur kerana berjaya ke peringkat akhir dan teruja menyahut cabaran melakukan tugasan pada saingan final.

Katanya, walaupun memiliki jumlah pengikut yang ramai iaitu 258,000 orang di Instagram, dia sedar ia tidak menjamin kemenangan, kerana masakan yang dihasilkan diadili berdasarkan penjurian.

"Walau ada pengikut yang ramai sekalipun, jika tiada bakat dan tidak memberi persembahan yang baik, kemenangan takkan berpihak pada kita.

"Apa pun, saya sahut cabaran menghasilkan pastri dan manisan terbaik pada program akhir ini," katanya kepada BH Online.

Alex yang mempunyai kemahiran asas dalam masakan pastri dan manisan pula menyifatkan kelebihan itu tidak menjamin beliau mampu mengetepikan peserta lain yang mempunyai bakat tersendiri dalam kulinari.

"Bagi saya, setiap peserta mempunyai keunikan dan kehebatan tersendiri dan masing-masing berlumba-lumba menghasilkan masakan terbaik. Anda sendiri boleh lihat keterujaan kami dalam menyiapkan tugasan pada episod sebelum ini.

"Pada peringkat akhir ini, saya berasa lebih gementar kerana hari inilah akan diumumkan Hero Oven musim kedua," tuturnya.

Amir pula berkata, berada pada peringkat akhir Hero Oven sudah cukup membanggakan buat dirinya dan sehingga kini, dia masih tidak percaya mampu sampai ke tahap itu.

"Jujurnya, saya tidak menyangka mampu menjadi peserta empat terakhir program ini. Jadi, saya mengambil peluang itu menunjukkan segala kemahiran yang ada.

"Soal menang atau kalah, bukan lagi menjadi subjek utama kerana apa yang penting, saya memberikan hasil kerja terbaik daripada sebelum ini. Menyertai Hero Oven juga pencapaian terbaik saya," ujarnya yang turut memiliki kemahiran menebar roti canai.

Sementara itu, Ikhwan yang juga cef di hotel terkemuka di ibu kota menyifatkan pertandingan akhir Hero Oven akan memberi kelebihan buat dirinya untuk menjadi tukang masak lebih baik.

"Seperti peserta lain, setiap minggu saya akan memberi hasil kerja yang terbaik. Walaupun jarang membuat pastri, tugasan diberi mengasah bakat yang saya anggap boleh digunakan di tempat kerja nanti," katanya.

Berita Harian X