Isnin, 1 Januari 2018 | 2:40pm
WAN Arif menyifatkan Afifah Nasir seorang yang cukup istimewa di hatinya.
WAN Arif menyifatkan Afifah Nasir seorang yang cukup istimewa di hatinya.

Kekasih akui Afifah satu dalam sejuta

KUALA LUMPUR: Kekasih kepada Afifah Nasir, Wan Ariff Wan Azhar, menyifatkan aktres itu seorang yang cukup istimewa dan tiada wanita lain seperti dirinya.

Menyambut ulang tahun ketiga percintaan mereka, baru-baru ini, jejaka berkenaan meluahkan rasa cinta dan syukur kerana memiliki Afifah sebagai kekasih walaupun pelbagai dugaan ditempuh mereka pada tahun lalu.

"Tahun 2017 terlalu mencabar buat kami berdua. Seperti perhubungan pasangan lain, kami melakukan kesilapan, tetapi saling memaafkan dan memberi semangat antara satu sama lain.

"Sepanjang perhubungan ini, dia (Afifah) menunjukkan sisi dirinya yang tidak dapat dilihat orang lain di luar sana.

"Dialah wanita satu dalam sejuta dan saya bersyukur memanggilnya sebagai pasangan saya," katanya menerusi perkongsian di Instagram beliau, dua hari lalu.

Tambah pemuda itu, ada masanya beliau tidak pandai menunjukkan rasa cintanya kepada pelakon berkenaan, namun jauh di sudut hati, dirinya terlalu mencintai gadis terbabit.

Menerusi entri terbabit juga, Wan Ariff memuat naik foto bersama Afifah, 24, ketika mereka menikmati makan malam meraikan detik indah itu di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Sementara itu, Afifah yang turut berkongsi kisah cintanya dengan Wan Ariff, 24, bersama umum, menyifatkan jejaka itu terlalu istimewa buat beliau.

"Dia seorang insan yang penuh kejutan. Selalu berahsia setiap kali membawa saya keluar makan malam. Terima kasih kerana mempercayai saya dan sentiasa membuatkan diri ini berasa terlalu istimewa.

"Kita berkongsi hampir setiap perkara dan tiada sekali pun saya meragui dirimu.

"Awak sangat matang dalam menguruskan sesuatu perkara. Saya takkan meminta pasangan yang lebih baik daripada dirimu. Terima kasih atas pemberian bunga ini," tulis Afifah mengiringi gambar dirinya memegang jambangan bunga bersama kekasih di sisi.

Terdahulu, pasangan itu berdepan dugaan apabila Afifah terpalit dengan kontroversi bersama penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, yang juga gandingannya dalam drama, Izinkan Aku Mencintaimu.

Kontroversi tercetus apabila isteri Aliff, Bella Astillah, dilaporkan menemui mereka berdua di sebuah pusat karaoke di Cheras. Rentetannya, pergelutan dikatakan berlaku antara suami isteri itu, yang menyebabkan Bella membuat laporan polis.

Berita Harian X