Rabu, 20 Disember 2017 | 12:03pm
PELAKON, Elfira Loy. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Bukan barang saya semuanya - Elfira Loy

KUALA LUMPUR: Panas dengan klip video yang memaparkan pengakuan dirinya berbelanja hampir RM10,000 selama sejam berada di sebuah kedai kecantikan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Elfira Loy menjelaskan barangan dibeli bukanlah miliknya semua.

Elfira memberitahu, barangan yang diperoleh di premis terbabit adalah termasuk alat solek yang dipesan rakan-rakan.

"Saya pergi ke Los Angeles untuk sebuah acara tetapi sempat membeli-belah di sebuah kedai alat solek... Memang itulah yang saya mahu lakukan.

"Selama sejam di kedai itu, saya berbelanja hingga hampir RM10,000. Tak tahulah kenapa jadi begini. Tetapi apabila sampai di kaunter pembayaran, saya tak boleh nak patah balik... Jadi kita terima sahajalah," katanya.

Sejak dua hari lalu, klip video yang dimuat naik Elfira di saluran miliknya, Twinkel TV pada laman YouTube hangat diperkatakan netizen gara-gara pengakuannya berbelanja hampir RM10,000 selama sejam membeli-belah di sebuah kedai kecantikan di Los Angeles.

Setakat ini, klip video itu mencatat lebih 270,000 tontonan. Klip sama turut dikongsi Elfira dalam akaun Instagram.

Namun, pada penghujung klip video itu, Elfira mengaku menyesal berbelanja sebegitu banyak untuk barangan kecantikan yang menjadi kesukaannya.

"Saya fikir, saya sudah terlalu banyak membuat reviu barangan dan rasa menyesal dalam hati. Kenapa beli-belah banyak sangat! Tak nak beli alat solek dah!" selorohnya.

Sejak klip video itu viral, netizen memberi pelbagai reaksi, malah ramai yang terkejut dengan jumlah dibelanjakan Elfira di kedai terbabit.

Ada peminat menganggap tindakannya itu berbaloi sebagai ganjaran selepas bekerja keras sebagai pelakon dan ahli perniagaan.

Namun, ada peminat menganggap Elfira membazir. Malah, netizen mengingatkan tunangnya, Sufian Suhaimi supaya bersedia menanggung gaya hidup mewah bintang muda itu.

Berita Harian X