Isnin, 18 Disember 2017 | 5:35pm
MAS Yeos bersama bapanya, Mas Omar dan personaliti radio, Isma Halil yang mengunjungi penyanyi 80-an berkenaan hari ini.
DAVE menyampaikan sumbangan kepada Mas Omar ketika melawatnya di HKL petang tadi.

Mas Omar beransur sihat

KUALA LUMPUR: Keadaan penyanyi dekad 80-an yang juga pengurus artis, Mohamad Omar atau lebih dikenali sebagai Mas Omar, 61, bertambah baik selepas tiga hari mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mas Omar, 61, dimasukkan ke hospital berkenaan pada 15 Disember lalu selepas mengalami sesak nafas dan diserang angin ahmar.

Anaknya, Mas Yeos, berkata, biarpun semakin pulih, bapanya masih memerlukan pemantauan daripada doktor.

"Alhamdulillah, ayah semakin beransur pulih. Cuma, buat waktu ini dia belum cukup kuat untuk bergerak dan tidak boleh berjalan sendiri.

"Ayah mungkin ditahan di wad bagi tempoh seminggu. Dia masih memerlukan rawatan fisioterapi supaya betul-betul kuat untuk berjalan sendiri.

"Angin ahmar yang menyerangnya masih pada peringkat awal dan boleh dikawal dengan pengambilan ubat secara berterusan serta pengawalan makanan.

"Syukurlah buat masa ini tiada pembedahan perlu dilakukan," katanya sambil memaklumkan, bapanya turut mengalami masalah jantung.

Petang tadi, selain beberapa teman artis, Mas Omar juga menerima kunjungan Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave.

Dalam lawatan berkenaan, Dave turut menyampaikan sumbangan daripada persatuan terbabit.

"Selalunya, ayah yang turut membantu YA1M menghulurkan sumbangan kepada artis yang sakit.

"Namun sejak kebelakangan ini, ayah tak berapa sihat, jadi pembabitannya dengan mana-mana persatuan pun berkurangan," katanya.

Berita Harian X