Ahad, 15 Oktober 2017 | 3:30pm
PENYANYI, Siti Nurhaliza ketika mengumumkan kehamilan 4 bulan di Majlis kesyukuran di rumahnya, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENYANYI, Siti Nurhaliza ketika mengumumkan kehamilan 4 bulan di Majlis kesyukuran di rumahnya, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Anugerah terindah paling dinanti

CERITA sebuah kegembiraan dan paling didamba penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza yang dikongsinya malam kelmarin, barangkali adalah kisah paling indah pernah terjadi dalam sejarah hidupnya. Lama dia menantikan momen manis yang cukup bermakna itu.

Hanya selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama Datuk Khalid Mohammad Jiwa dan diuji dengan kejadian keguguran sekitar dua tahun lalu, Tuhan memberinya peluang untuk meniti perjalanan menjadi seorang ibu.

Ternyata kesabaran dan pengorbanannya selama ini diberi ganjaran yang sangat bernilai apabila impian untuk memiliki zuriat sendiri bakal menjadi kenyataan. Bagi Siti, takdir dan nasib seseorang itu berbeza-beza. Dia terpaksa menggunakan kaedah rawatan kesuburan di sebuah pusat fertiliti untuk menjadikan impiannya itu sebagai kenyataan.

"Sebelum ini, ramai yang berkata Siti tidak berusaha untuk mendapatkan anak. Jujur saya katakan, kehamilan kali ini berlaku selepas Siti menjalani rawatan kesuburan. Untuk tujuan itu, Siti perlu betul-betul berehat.

"Ini bukan kali pertama Siti menjalani rawatan kesuburan, sebaliknya kali ketiga. Alhamdulillah, baru sekarang Allah beri rezeki. Kali pertama Siti membuat rawatan itu pada usia awal 30-an. Siti dan suami tiada masalah untuk mendapatkan anak cara normal.

"Dua tahun lalu Siti pernah hamil, tetapi tiada rezeki apabila Siti keguguran ketika kandungan berusia dua bulan. Siti terpaksa menggunakan kaedah ini kerana mahu kejar masa, lagipun usia semakin meningkat. "Siti tidak boleh tangguhkan lagi hasrat untuk menimang cahaya mata," katanya pada sidang media mengumumkan kehamilannya yang diadakan di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.

KUALA LUMPUR 13 OKTOBER 2017. Penyanyi, Siti Nurhaliza ketika mengumumkan kehamilan 4 bulan di Majlis kesyukuran di rumahnya, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMADSYARAFIQ ABD SAMAD
KUALA LUMPUR 13 OKTOBER 2017. Penyanyi, Siti Nurhaliza ketika mengumumkan kehamilan 4 bulan di Majlis kesyukuran di rumahnya, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMADSYARAFIQ ABD SAMAD

Alahan kulit, bau dapur

Penyanyi yang baru muncul dengan album SimetriSiti, meniti pengalaman itu membuatkan hatinya terdetik untuk membantu wanita di luar sana yang mengalami nasib

serupa.

"Insya-Allah, pada Januari depan, Siti di bawah Yayasan Nur Jiwa akan bekerjasama dengan pusat kesuburan yang Siti jalani rawatan untuk membantu wanita mendapatkan cahaya mata dengan kos yang berpatutan.

"Siti mahu membantu mereka kerana Siti faham perasaan wanita yang terpaksa menunggu lama, malah ada yang lebih lama daripada Siti untuk mendapat zuriat," katanya.

Bercerita mengenai pengalaman menjalani fasa pertama kehamilan, Siti berkata paling ketara adalah perubahan bentuk fizikal terutama pada wajahnya.

"Pada bulan kedua kehamilan, Siti terkena alahan apabila kulit wajah menjadi kasar dan ditumbuhi ruam. Siti juga sentiasa rasa lapar, malah setiap masa asyik teringin menjamah makanan. Peliknya, Siti cuma boleh menikmati sedikit sahaja makanan kerana tiada selera.

"Siti juga tak boleh masuk dapur kerana alah bau. Apabila berlaku situasi ini, baru Siti mengerti perasaan ibu yang mengandung. Banyak pengorbanan yang dilakukan. Ini baru seorang, bagaimana mereka yang dikurniakan ramai zuriat," kata penyanyi berusia 38 tahun itu.

Ditanya mengenai jantina anak yang dikandungnya, bekas juara Bintang HMI 1995 itu berkata, dia tidak akan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum. "Siti takkan berahsia. Yang pasti bukan anak kembar dan jika diberikan Allah rezeki, Siti mengimpikan bayi perempuan," katanya yang kelihatan cukup berseri-seri malam itu.

Mengenai perancangan kerjayanya, penyanyi lagu Aku Bukan Malaikat itu berkata, demi menjaga kandungan yang semakin membesar, dia perlu membataskan kemunculannya tetapi berjanji tidak akan hilang terus dari radar seni.

"Selama empat bulan berehat, Siti terlalu rindukan peminat dan bertemu rakan media. Namun, atas nasihat doktor dan perasaan bimbang suami, Siti memilih untuk berehat. Siti bagaimanapun, tidak berehat terus kerana akan terbabit dengan rakaman lagu kanak-kanak dan juga menyanyi untuk satu majlis amal bersama Yayasan Pintar pada bulan depan.

"Jika menghadiri majlis, mungkin Siti akan memenuhi undangan untuk penampilan istimewa atau sesi ramah mesra," kata penerima tujuh kali trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu.

PENYANYI, Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa di Majlis kesyukuran di rumahnya, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENYANYI, Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa di Majlis kesyukuran di rumahnya, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Datuk K mahu anak perempuan

Terlebih dulu dikurniakan empat anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu, Khalid berharap, mereka dikurniakan pula cahaya mata perempuan. "Saya memang harap dikurniakan bayi perempuan memandangkan sudah mempunyai empat anak lelaki. Alhamdulillah, berita kehamilan Siti adalah anugerah yang tidak ternilai. Berkat kesabaran selama 11 tahun menanti, Allah makbulkan doa kami.

"Sebelum ini, kami sudah berusaha pelbagai cara termasuk menjalani rawatan tradisional. Syukur kerana akhirnya, Allah berikan juga rezeki itu," katanya. Khalid ketika ditanya mengenai perubahan isterinya sejak hamil berkata, Siti semakin manja dan sukar berenggang, namun peralihan itu tidak menjadi beban kepadanya. Akuinya, Siti juga tidak betah jika dia berada di luar terlalu lama atas urusan kerja kerana memerlukan teman untuk sentiasa di sisinya.

"Sejak hamil, saya perlu memberikannya lebih perhatian kerana Siti sukar berenggang dan tidak mahu kami berjauhan terlalu lama. "Bagi saya, itu perkara biasa terutama bagi seseorang yang sedang melalui fasa baharu dalam diri. Ketika saya ke London, baru-baru ini untuk menguruskan kemasukan anak bongsu di universiti, Siti agak gelisah.

"Begitu juga apabila saya terpaksa meninggalkannya untuk menunaikan haji. Sejak awal lagi, Siti sudah berpesan jangan pergi terlalu lama kerana dia perlukan teman. Biarpun sedikit

manja, tetapi Siti tidak banyak kerenah," katanya. Khalid berkata, Siti juga cepat lapar dan jika teringin menikmati sesuatu hidangan, isterinya itu pasti beriya-iya mahu menjamahnya.

"Tetapi apabila hidangan sudah di depan mata, dia hanya menjamah sedikit. Ada ketika, dia langsung tidak menyentuh hidangan sedangkan sebelum itu, dia beria-ia mahu menikmatinya. Sesekali, dia akan meminta ibu saya menyediakan sajian yang diinginkannya.

"Pantang jika ada yang menyebut sesuatu hidangan di hadapannya, dia mesti meminta dicarikan. Mungkin dia mengidam dan sebagai suami, saya akan cuba penuhi permintaannya," katanya.

Berita Harian X