Isnin, 25 September 2017 | 12:42pm
PELAKON, Syafiq Kyle. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
PELAKON, Syafiq Kyle. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Syafiq Kyle belum berpunya

KUALA LUMPUR: Belajar daripada pengalaman lalu, pelakon, Syafiq Kyle, lebih selesa untuk tidak berkongsi hal peribadi mahupun kisah percintaannya kepada umum.

Syafiq atau nama penuhnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 25, berkata walaupun belum lagi berpunya, beliau mahu mempertahankan pendirian berkenaan agar masyarakat lebih tertumpu pada kerjaya lakonannya.

"Apa-apa hal berkaitan peribadi atau cinta, saya tak selesa untuk berkongsi dengan orang ramai. Biarlah kalau ada orang nak kata saya 'poyo' sekalipun.

"Begitupun, buat masa sekarang, jika ditanya soal cinta, saya belum ada sesiapa lagi. Bukannya serik untuk berkasih, tetapi saya belajar apa yang perlu diberikan perhatian terlebih dulu," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Syafiq pernah dilaporkan menjalinkan hubungan cinta dengan aktres sensasi, Uqasha Senrose.

Kata Syafiq, walaupun enggan berkongsi cerita sedemikian, beliau yakin, jika ditakdirkan satu hari dirinya bercinta dengan seseorang, peminat pasti akan mengetahuinya juga.

Sementara itu, Syafiq memberitahu beliau kini mengikuti kelas lakonan bersama pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty, sebagai persiapan membintangi projek filem terbaru.

"Seronok juga apabila dapat mencedok ilmu lakonan daripada orang yang berpengalaman sepertinya. Ia sekali gus dapat memantapkan kemahiran lakonan saya.

"Insya-Allah, apabila tiba masanya, saya akan berkongsi maklumat mengenai projek filem yang akan saya lakonkan itu nanti," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq baru saja selesai menjalani penggambaran drama, Dekatkan Jarak Kita, di bawah terbitan JS Pictures. Naskhah yang turut dibintangi Ayda Jebat, Nadia Brian dan Wan Sharmila itu akan disiarkan di TV3 mulai 8 November depan.

Berita Harian X