Khamis, 21 September 2017 | 12:36pm
PENYANYI Indonesia Marcell Siahaan. - Foto Mahzir Mat Isa

Jualan tiket konsert Marcell diperluas

KUALA LUMPUR: Kesukaran bagi mendapatkan tiket konsert penyanyi Indonesia, Marcell - Once In A Lifetime secara dalam talian, terutama untuk pengguna kad debit, membuatkan penganjur memperluaskan cara jualannya.

Jika sebelum ini penganjur menggunakan laman sesawang yang beroperasi di Indonesia, kini tiket konsert penyanyi yang cukup popular dengan lagu Semusim itu boleh didapati di beberapa lokasi terpilih.

Konsert penyanyi yang genap berusia 40 tahun pada hari ini bakal berlangsung pada jam 8 malam, 23 September, di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

"Kami banyak menerima aduan daripada peminat yang menyatakan mereka sukar untuk mendapatkan tiket, terutama mereka yang menggunakan kad debit. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan masalah teknikal dan sistem yang berbeza.

"Selepas ini, peminat Marcell boleh mendapatkan tiket berkenaan menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com dan juga outlet terpilih. Ia sudah pun dijual bermula minggu ini," kata penganjur menerusi kenyataan yang dikirimkan kepada BH Online.

Cawangan yang terpilih adalah di Rock Corner, Garden Mall; Victoria Music, Amcorp Mall dan Victoria Music, Sungai Wang Plaza.

Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan tiket berkenaan di lokasi konsert mulai esok, selama dua hari.

Konsert yang dianjurkan Marcell sendiri dengan kerjasama Empire Live, VMC Music Indonesia dan Oleg Sabchabakhtiar daripada Planet Design Indonesia itu akan menyaksikan penyanyi terbabit mendendangkan 40 lagu, termasuk secara medley.

Berita Harian X