Khamis, 14 September 2017 | 9:38pm
KHAI bersama isterinya, Rosma. - Foto Zunnur Al Shafiq
KHAI bersama isterinya, Rosma. - Foto Zunnur Al Shafiq

Menderita sakit tulang belakang, Khai restu Rosma menyanyi

PERNAH sebulan terlantar di rumah akibat sakit tulang belakang atau slipped disc, keupayaan bekas bintang Akademi Fantasia (AF), Khai ketika ini agak terbatas.

Reda dengan ujian Tuhan, Khai yang berkahwin dengan Rosma yang dikenali ketika bersaing di pentas AF pertama, tidak pernah putus asa mencari penawar penyakitnya itu.

Akui Khai, dia perlu mendapatkan rawatan berterusan apatah lagi pemeriksaan doktor mendapati kesakitan itu mula menyerang urat saraf.

"Rawatan untuk penyakit ini masih diteruskan, ...boleh dikatakan hampir pulih, namun sekarang ia mula menyerang bahagian urat saraf.

"Sepanjang Ramadan lalu, saya hanya duduk di rumah sebab sakit yang melarat, ..saya tak mampu nak berbuat apa-apa apatah lagi pergi ke pejabat," katanya kepada BH Plus.

Khai atau nama sebenarnya, Khairul Nizam Mohamad, 38, memberitahu, ketika ini, dia mencuba segala jenis rawatan baik moden mahupun tradisional bagi mengurangkan kesakitan ditanggung.

ADA tawaran berbentuk pakej yang mahu Khai dan Rosma menyanyi bersama, tetapi tumpuan Khai kini sudah beralih kepada perniagaan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ADA tawaran berbentuk pakej yang mahu Khai dan Rosma menyanyi bersama, tetapi tumpuan Khai kini sudah beralih kepada perniagaan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sukar mencongak apakah penyakitnya mampu sembuh sepenuhnya, Khai yang mula memperlahankan karier seni bagi memberi tumpuan kepada perniagaan, terfikir mengenai masa depan keluarga.

Sehubungan itu, apabila Rosma menyatakan hasrat aktif semula dalam bidang nyanyian dengan menyertai AF Megastar, Khai bukan saja memberi restu, malah menyokong usaha isterinya itu.

Menemani Rosma menghadiri sesi uji bakat program realiti itu, Khai mengaku pihak produksi turut mempelawanya mencuba nasib.

"Pengacara Datuk Aznil Nawawi juga meminta saya menyertai uji bakat itu. Namun, dari awal lagi, saya sudah membuat keputusan untuk tidak menyertainya.

"Tak mengapalah, biarlah Rosma yang teruskan. Saya sakit dan ada banyak komitmen lain.

"Lagipun, isteri saya minat menyanyi. Dia berbakat besar dan tampak bersungguh-sungguh. Menyertai pertandingan sebegini kena fokus 100 peratus tanpa memikirkan perkara lain," katanya.

ROSMA ketika menyanyikan lagu Hanya Satu pada pusingan kedua Konsert AF Megastar di Royal Teater Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
ROSMA ketika menyanyikan lagu Hanya Satu pada pusingan kedua Konsert AF Megastar di Royal Teater Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Khai berkata, pendedahan di pentas AF Megastar dianggap bonus buat isterinya yang baru melancarkan single terbaharu berjudul Sumpah Setia.

"Saya beri galakan untuk dia kembali aktif. Saya boleh tengok-tengokkan anak dan perniagaan.

"Malah, adik perempuan saya juga boleh membantu mengasuh anak-anak, ..jadi Rosma tidak perlu risau," katanya.

Mengenai karier nyanyiannya, Khai mengaku tawaran masih ada namun tumpuan lebih terarah kepada perniagaan.

"Ada tawaran berbentuk pakej yang mahu saya dan isteri menyanyi bersama.

"Namun, tumpuan saya beralih kepada bidang perniagaan di mana saya dan isteri menjual produk pelangsingan," katanya.

Baru-baru ini, kejutan Khai yang menghadiahkan kereta mewah, Audi TT buat isteri yang dikongsinya di laman sosial, menjadi viral.

Menurut penyanyi Dambaan Pilu itu, video berkenan dimuat naik secara spontan kerana teruja dapat menunaikan impian Rosma sejak tujuh tahun lalu.

"Rosma sudah lama mengidam memiliki kereta Audi TT. Setiap kali kalau terserempak di jalan raya, pasti dia tegur. Sebagai suami, saya rasa bertanggungjawab untuk menunaikan hasratnya itu.

"Namun, tidak sangka pula perkongsian itu menjadi viral sekelip mata. Rosma menitiskan air mata kerana tidak menyangka menerima hadiah kereta idamannya," katanya.

PENDEDAHAN di pentas AF Megastar dianggap bonus buat Rosma yang baru melancarkan single terbaharu berjudul Sumpah Setia. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PENDEDAHAN di pentas AF Megastar dianggap bonus buat Rosma yang baru melancarkan single terbaharu berjudul Sumpah Setia. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Khai bagaimanapun berharap peminat tidak salah faham atau menyangka dirinya seperti mahu menunjuk-nunjuk.

"Elemen riak atau menunjuk-nunjuk tak wujud. Saya bersyukur kerana selepas tujuh tahun, saya berjaya membelikan hadiah itu," katanya.

Info

  • Khai dan Rosma mendirikan rumah tangga pada 2008.
  • Mereka digosipkan bercinta ketika sama-sama menyertai pertandingan Akademi Fantasia musim pertama.
  • Mempunyai dua anak iaitu Muhammad Amzar Danish, 8, dan Nur Amani Damia Mohd, 3.
  • Mengusahakan produk pelangsingan Magic Slims.
Berita Harian X