Rabu, 23 Ogos 2017 | 6:05pm
PELAKON, Syafik Kyle. - Foto Aswadi Alias
PELAKON, Syafik Kyle. - Foto Aswadi Alias

Syafiq makin popular di media sosial

KUALA LUMPUR: Pelakon Syafiq Kyle melantik pakar media sosial bagi merancang strategi mendekati peminat.

Syafiq atau nama penuhnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 25, memberitahu dengan cara itu, dia mampu menonjolkan diri dan meraih lebih banyak peluang.

"Kira-kira empat bulan lalu, pengikut Instagram saya mencecah 500,000 orang. Tetapi akaun saya digodam. Kemudian saya buka akaun baru.

"Kebetulan sejak drama lakonan saya, Mencintaimu Mr Photographer disiarkan, pengikut saya naik mendadak hingga lebih 700,000 orang," katanya kepada BH Online.

Syafiq berkata, pakar media sosial yang dilantik akan menyusun strategi pada setiap status atau gambar yang dimuat naik.

"Dia akan beritahu foto yang patut dimuat naik setiap hari," katanya.

Syafiq berkata, dia perlu lebih aktif dalam media sosial kerana penerbit cenderung melihat jumlah pengikut dalam mencari pelakon.

Tambahnya, selepas enam tahun menceburi dunia seni, baru sekarang kehadirannya disedari.

"Saya tidaklah meletakkan harapan yang tinggi, tetapi setiap hari saya akan buat yang terbaik dalam kerjaya saya.

"Saya fikir populariti itu perlu untuk menjana pendapatan. Namun, akhirnya, orang masih melihat kualiti dalam setiap lakonan saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq sekarang sibuk dengan penggambaran drama Dekatkan Jarak Kita di bawah produksi JS Pictures. Drama yang turut dibintangi Ayda Jebat, Nadia Brian dan Wan Syarmila itu akan disiarkan di TV3 mulai 8 November depan.

Berita Harian X