Rabu, 16 Ogos 2017 | 12:06am
DATUK Siti Nurhaliza. - Foto Mahzir Mat Isa
DATUK Siti Nurhaliza. - Foto Mahzir Mat Isa
DATUK Siti Nurhaliza.- Foto Aziah Azmee
DATUK Siti Nurhaliza.- Foto Aziah Azmee
DATUK Siti Nurhaliza. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
DATUK Siti Nurhaliza. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Saya tak sakit - Siti

PENYANYI terkenal, Datuk Siti Nurhaliza, menegaskan peminatnya tidak perlu risau dengan dirinya, malah beliau berada dalam keadaan sihat serta aktif melakukan pelbagai perkara.

Bintang kesayangan ramai itu berkata demikian kepada BH ketika dihubungi semalam bagi merungkai 'kehilangannya' daripada dunia seni sejak penghujung Aidilfitri lalu.

Apabila kelibatnya tidak kelihatan pada majlis ataupun acara hiburan, seperti sering dilakukannya sebelum ini, ia tentu saja menimbulkan pelbagai spekulasi di sebalik tindakannya itu. Walaupun masih berada dalam lingkungan radar seni, namun Siti dilihat tidak aktif seperti selalu.

Justeru, ramai juga yang mula risau dan menyangka kehilangannya ada kena mengena dengan faktor kesihatan. Enggan membiarkan situasi itu terus menjadi tanda-tanya, BH mendapatkan sendiri jawapan daripada si empunya diri.

Saat diajukan pertanyaan berkenaan kepada Siti, tergelak besar penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Jerat Percintaan ini.

"Alhamdulillah, Siti sihat saja dan buat masa ini, Siti masih aktif melakukan pelbagai kerja, tetapi lebih kepada belakang tabir. Sebelum ini pun memang Siti maklumkan pada semua, Siti mahu berehat.

"Maklum sajalah, beberapa bulan kebelakangan ini banyak tugasan perlu Siti selesaikan seperti rakaman album baharu dan urusan perniagaan.

"Malah, selepas album berada di pasaran, Siti kena pula jayakan promosi, naik turun stesen radio dan TV selain sesi bertemu peminat. Memang jadual Siti padat sangat.

"Justeru apabila kerja semakin berkurangan, Siti ambil peluang itu untuk bercuti. Bagaimanapun, nak kata bercuti sepenuhnya itu tidaklah juga kerana Siti sempat juga menyiapkan video muzik lagu Aku Bukan Malaikat," katanya.

Terlanjur bercerita mengenai album baharu berjudul Simetri yang dilancarkan sekitar April lalu, Siti meluahkan perasaan teruja apabila banyak lagu yang dimuatkan di dalamnya menjadi pilihan radio, sama ada stesen milik kerajaan ataupun swasta.

Antara untaian yang dimainkan ialah single pertama yang dipertaruhkan Siti, Segala Perasaan; Bersandar Cinta; Kau Takdirku; Manis Terindah; Kisah Ku Inginkan; Aku Bukan Malaikat; dan Penghiburku.

"Walaupun pada awalnya agak sukar untuk stesen radio memainkan lagu Siti kerana mereka memiliki prosedur tersendiri, namun berkat usaha peminat yang tak jemu-jemu mengundi, akhirnya ia berkumandang juga sehingga ada yang menjadi juara carta.

"Siti sendiri tidak menyalahkan stesen radio apabila lagu Siti lambat diputarkan kerana mereka ada prosedur tersendiri, selain perlu menunggu giliran.

"Siti juga akui zaman sudah berubah. Jika dulu, stesen radio berlumba-lumba untuk memutarkan lagu baharu seseorang artis, kini karya berkenaan perlu melalui sistem audit sebelum dimasukkan ke slot pradengar dan peminat perlu mengundi jika mahu lagu artis kesayangan mereka diputarkan," ujar penyanyi berusia 38 tahun ini.

Sementara itu, Isnin 21 Ogos ini, genaplah 11 tahun Siti dan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan DK, melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri. Seperti biasa, ketibaan hari yang penuh bermakna itu tetap akan diraikan dengan majlis kesyukuran.

"Untuk sambutan tahun ini, Siti dan suami mengharapkan kasih sayang antara kami akan berpanjangan hingga ke jannah, kekal bahagia dan terus dikurniakan rezeki.

"Kebetulan, jika ada rezeki, DK akan menunaikan ibadat haji bersama ibunya. Kiranya, majlis kesyukuran ulang tahun perkahwinan kami nanti akan dibuat serentak dengan doa selamat sempena pemergian DK dan ibunya ke Makkah. Harapan Siti semuanya berjalan lancar," katanya dalam nada teruja.

Berita Harian X