Selasa, 15 Ogos 2017 | 5:14pm
AFIFAH kembali buka ruangan komen di laman Instagramnya.
AFIFAH kembali buka ruangan komen di laman Instagramnya.

Luah isi hati, Afifah kembali buka ruangan komen

KUALA LUMPUR: Selepas menutup ruangan komen akaun Instagram sejak kontroversi membabitkan beliau dengan Aliff Aziz tercetus, penghujung Julai lalu, kini Afifah Nasir tidak lagi berbuat begitu.

Kembali membuka ruangan terbabit, secara tidak langsung pelakon wanita berkenaan membiarkan pengikut mahupun peminatnya meninggalkan komen di laman sosialnya itu.

Bahkan, semalam Afifah, 24, turut mencoret isi hati di laman sosial bergambar popular terbabit.

"Kepada keluarga, saya tahu kepedihan dan luka yang saya sebabkan hingga memalit semua. Tak pernah terlintas dan terniat untuk menyakiti anda semua (ahli keluarga). Segala kata cacian yang dilemparkan saya terima sebagai khilaf diri yang dilakukan.

"Kebenarannya hanya Allah yang tahu. Hidup tak perlu memuaskan hati sesiapa. Hubungan dengan Tuhan yang lebih penting dan mengatasi segala-galanya. Masing-masing ada hak untuk bersuara dan menghakimi.

"Biarlah apa orang nak kata. Yang penting, Allah tahu macam mana niat kita. Setiap apa yang terjadi ada hikmahnya. Minta jasa baik semua yang ada hati dan perasaan, lepaskan kemarahan itu kepada saya dan bukannya keluarga serta kekasih. Saya percaya mereka tidak bersalah," katanya sambil menutup keterangan gambar dengan makluman ruang komen laman sosialnya dibuka untuk semua.

Hujung bulan lalu, bakat baharu berkenaan terpalit dengan kontroversi apabila dirinya keluar bersama penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff, 26. Kes bertambah panas apabila pasangan artis berkenaan, Bella Astillah, 23, menemui mereka berdua di sebuah bilik karaoke, sehingga berlaku pergelutan antara pasangan suami isteri terbabit.

Rentetan insiden itu, Aliff ditahan di lokap selama dua malam sebelum dibebaskan dan Bella juga menarik balik laporan polis dibuat terhadap suaminya.

Sementara itu, coretan Afifah itu turut menarik perhatian kekasihnya, Wan Ariff Wan Azhar, untuk sama-sama meninggalkan komen.

"Terus kuat dan positif selalu sayangku. Allah tahu kebenarannya," tulis Wan Ariff.

Malah, kakaknya, Anzalna, juga berkongsi kata-kata semangat kepada buat pelakon Izinkan Aku Mencintaimu itu.

"Apa terjadi ada hikmah. Allah bagi ujian tanda cinta pada umat-Nya. Kita ini serba kekurangan. Apabila datang ujian macam ini, ia dapat sedarkan kita.

"Macam mana pun (kita) tak boleh tutup mulut manusia. Itu antara dia dengan Allah. Kamu kuat (merujuk kepada Afifah)... Apa kamu buat salah.. sudah minta maaf. Hanya fokus kepada apa yang kamu lakukan. Sayang kamu selalu adikku," luah Anzalna.

Berita Harian X