Selasa, 8 Ogos 2017 | 12:00am

Wajah tak komersial Along Zaimi jadi mangsa diskriminasi

MENYEDARI dirinya sekadar mempertaruhkan bakat, pemenang tempat ketiga program realiti, Mentor Milenia 2017, Along Zaimi tidak mampu menangkis kecaman netizen yang mempertikaikan kehadirannya dalam dunia seni.

Dihujani kritikan berkait rupa paras yang dianggap netizen tidak komersial, Along Zaimi yang juga protege kepada penyanyi Tomok, tidak mampu menangkis komen negatif yang memperlekehkan soal tarikan fizikal atau wajahnya.

Malah, Along Zaimi tahu dirinya disamakan dengan Usop yang muncul juara program sama. Dituduh masing-masing tidak berwajah komersial, Along bagaimanapun mahu membuktikan kemampuan diri.

Bertandang ke Balai Berita, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad bagi mempromosikan single terbaharu berjudul Menolak Hatiku ciptaan Tomok, baru-baru ini, Along meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya.

"Kalau boleh, janganlah hanya pandang rupa dan melupakan bakat yang ada. Tak bolehkah orang yang tak kacak macam kami berkarya dan berkongsi bakat? Kami juga mahu diberi peluang.

PENYANYI, Along Zaimi atau nama penuhnya, Mohamad Rozaimi Rosli. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Along Zaimi atau nama penuhnya, Mohamad Rozaimi Rosli. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Berilah peluang kepada orang macam saya membuktikan bakat. Takkan semua nak diletak atau dipertaruhkan muka yang kacak dan molek belaka," katanya.

Menurut jejaka kelahiran Kuala Kedah ini, dia tidak mahu terus larut dengan pandangan sempit netizen yang pantas menghukum dirinya tanpa diberi ruang dan peluang menonjolkan bakat.

"Jika diikutkan, memang terasa hati. Tapi saya percaya ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus berjuang.

"Perjalanan saya masih jauh... Diharap kehadiran saya akan memberi warna dan variasi kepada industri hiburan," katanya.

Klip video ditonton 300,000 kali

Along Zaimi atau nama penuhnya, Mohamad Rozaimi Rosli menganggap dirinya bertuah kerana Tomok tidak melepaskannya begitu saja sebaik Mentor Milenia 2017 berakhir.

ALONG Zaimi menganggap dirinya bertuah kerana Tomok tidak melepaskannya begitu saja sebaik Mentor Milenia 2017 berakhir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ALONG Zaimi menganggap dirinya bertuah kerana Tomok tidak melepaskannya begitu saja sebaik Mentor Milenia 2017 berakhir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sekalipun diikat kontrak bersama TV3 selama setahun, Tomok masih memberi sokongan dan bimbingan kepadanya.

"Saya bertuah kerana diberi lagu pertama yang dijadikan single ciptaan Tomok.

"Saya turut berkongsi idea dan input untuk lirik lagu terbabit bersama beberapa individu lain. Lagu itu dirakamkan pada 11 April lalu ketika saya sedang berentap pada suku akhir Mentor Milenia," katanya.

Tambah Along Zaimi, single itu cukup peribadi buat dirinya.

"Lagu itu adalah hadiah hari lahir saya kerana dirakam pada hari jadi saya yang ke-21.

"Ia dirakamkan di Studio Kamar Seni milik AG Coco. Saya dapat tahu ilham lagu itu dihasilkan Tomok secara spontan, jadi kiranya, ia adalah idea segar," katanya menghurai lagu berkonsep pop rock seperti dendangan Aiman Tino dan Projector Band itu.

Along juga teruja video muzik lirik lagu berkenaan sudah ditonton hampir 300,000 kali selepas dimuat naik di laman YouTube.

ALONG Zaimi Dihujani kritikan berkait rupa paras yang dianggap netizen tidak komersial. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ALONG Zaimi Dihujani kritikan berkait rupa paras yang dianggap netizen tidak komersial. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Cipta 10 lagu

Biarpun masih hijau, Along Zaimi optimis dengan haluan seninya apatah lagi Along tidak 'lepas tangan' dan banyak membantu.

"Masih banyak lagi yang perlu saya lalui dan belajar. Ada aspek yang perlu saya perbaiki termasuk dalam soal penampilan.

"Saya masih mencari aura dan faktor X yang orang selalu sebut-sebutkan," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya dibimbing Tomok, Along Zaimi bersyukur melalui pengalaman berharga bersama penyanyi itu.

"Tomok seperti yang kita lihat ketika berentap dalam Mentor Milenia mahupun di luar, sangat tegas.

"Dia tahu saya masih baharu dan mentah. Disebabkan itulah keinginannya membantu saya amat dihargai. Siapa tahu pada masa mendatang, saya pula dapat menjadi sepertinya dan menolong insan lain yang baru bertapak dalam dunia seni," katanya.

Along Zaimi berkata, minatnya terhadap bidang nyanyian berputik ketika berusia tujuh tahun. Sebaik tamat sekolah menengah, dia melanjutkan pengajian dalam bidang muzik.

"Saya melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Oktober depan saya akan menghadiri majlis konvokesyen.

ALONG Zaimi tidak mahu terus larut dengan pandangan sempit netizen yang pantas menghukum dirinya tanpa diberi ruang dan peluang menonjolkan bakat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ALONG Zaimi tidak mahu terus larut dengan pandangan sempit netizen yang pantas menghukum dirinya tanpa diberi ruang dan peluang menonjolkan bakat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Insya-Allah, saya merancang mengambil program pendidikan jarak jauh dalam bidang muzik seperti Tomok," katanya.

Along Zaimi menambah, ketika belajar, dia sudah mencipta kira-kira 10 lagu.

"Saya banyak belajar mengenai komposisi muzik. Manalah tahu, pada masa depan, saya boleh ketengahkan lagu yang dicipta termasuk diberi kepada penyanyi lain," katanya.

Info

  • Facebook, Instagram dan Twitter menggunakan nama Along Zaimi.
  • Pemenang tempat ketiga, Mentor Milenia 2017.
  • Menyambut hari lahirnya yang ke-21 pada 11 April lalu.
  • Hadir dengan single pertama berjudul Menolak Hatiku.
  • Anak sulung daripada empat beradik.
  • Berasal dari Kuala Kedah, Kedah.
Berita Harian X