Rabu, 2 Ogos 2017 | 7:31pm

Ummi hanya terima tajaan inai pengantin

KUALA LUMPUR: Pelakon Ummi Nazeera, menolak tajaan dihulurkan sempena hari perkahwinannya selain inai pengantin.

Menurut Ummi, beliau menerima banyak tawaran untuk menaja majlis hari bahagianya itu, namun aktres berusia 26 tahun ini menolaknya secara baik.

"Jika diikutkan, ramai juga yang sudi hendak menaja pelbagai perkara sempena majlis perkahwinan saya. Berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan atas ingatan dan kesudian mereka.

PELAKON, Ummi Nazeera pada sidang akhbar sempena majlis persiapan perkahwinannya. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

"Bagaimanapun, untuk majlis perkahwinan ini, saya mahukan yang terbaik selain apa yang saya sendiri sukai. Bimbang juga andai saya menerima tajaan, ada impian saya yang tak dapat dipenuhi. Jadi, sebaik-baiknya saya melakukannya mengikut pilihan sendiri," katanya.

Ummi dan jejaka dikenali sebagai Dr Izzar bakal diijabkabulkan di sebuah hotel di Putrajaya, malam esok, dalam sebuah acara tertutup.

Sebanyak empat majlis dirancang untuk hari bahagia pelakon Chor Dan Chah itu. Sehari selepas majlis akad nikah, diadakan pula malam berinai berkonsepkan Bollywood.

"Ia diikuti dua majlis resepsi, masing-masing pada 5 dan 12 Ogos. Harapnya semua yang dirancang akan berjalan baik. Majlis di sebelah keluarga bakal suami pula akan diadakan pada 19 Ogos," katanya.

Dari segi tema perkahwinan, Ummi memilih tiga konsep berbeza, iaitu Islamik untuk hari akad nikah, 'Enchanted Forest' bagi majlis resepsi pertama dan Melayu Tradisional untuk resepsi kedua.

Ummi dan pasangannya ditunangkan pada 11 Disember 2016. Kedua-duanya berkenalan menerusi ibu pemuda terbabit pada sebuah majlis, Januari tahun lalu.

Beliau yang akan muncul dengan filem berjudul Bisik Pada Langit, September depan, dan bakal suami turut merancang untuk berbulan madu di Sabah dan Switzerland.

Ends.

Berita Harian X