Selasa, 1 Ogos 2017 | 12:55pm
Bella Astillah pada sidang media berhubung insiden rumah tangga mereka baru-baru ini di Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
Bella Astillah pada sidang media berhubung insiden rumah tangga mereka baru-baru ini di Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

'Nak bincang, bukan meroyan'

KUALA LUMPUR: Bella Astillah menafikan 'meroyan' apabila mencari suaminya, Aliff Aziz, di premis hiburan sehingga berlaku pergelutan yang mencederakan dirinya, Khamis lalu.

Sebaliknya, Bella, 23, yang baru melahirkan bayi sulung, Mohamad Ayden Adrean, pada 8 Julai lalu berkata, tujuannya ke pusat hiburan itu adalah bagi berbincang dengan Aliff, 26.

Pada 27 Julai lalu, Bella dan ibunya ke sebuah pusat hiburan di Cheras bagi mencari Aliff sebelum menemui suaminya di bilik karaoke bersama pelakon baharu, Afifah Nasir, yang juga adik aktres, Anzalna.

"Saya tak meroyan atau apa saja yang boleh menggambarkan keadaan seperti yang dimaksudkan oleh kakak pelakon wanita itu dan netizen.

"Saya ke premis hiburan itu untuk berbincang secara baik dengan suami. Sebaliknya, kami bergelut hingga ada tindakan kasar.

"Malah, saya dengan baik meminta wanita yang bersama suami saya keluar seketika kerana kami mahu berbincang secara peribadi tetapi tidak diendahkan. Dia masih ada dalam bilik karaoke itu.

"Jadi, saya rasa tidak manis dan tak patut kakak pelakon wanita dan netizen berkata saya meroyan. Ia (dakwaan) itu sangat menyakitkan," kata Bella.

Beliau berkata demikian sebagai membalas komen terbuka sesetengah netizen dan Anzalna yang menyifatkan kelakuan dicetuskan olehnya pada hari kejadian kerana meroyan.

Malah, Bella berharap golongan wanita menjaga kepercayaan sesama mereka.

"Untuk wanita di luar sana, jangan rosakkan kepercayaan sesama wanita. Kita tahu bagaimana perasaannya jika ada yang mahu merosakkan kebahagiaan kita," katanya.

Berita Harian X