Isnin, 31 Julai 2017 | 1:04pm
ALIFF Aziz dan Bella Astillah. - Foto Mohd Adam Arinin
ALIFF Aziz dan Bella Astillah. - Foto Mohd Adam Arinin

Bella maafkan Aliff demi anak

KUALA LUMPUR: Demi anak sulung mereka yang belum pun mencecah usia sebulan, Bella Astillah sanggup memaafkan suaminya, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz.

Bercakap kepada BH Online, isteri kepada artis kelahiran Singapura itu juga berkata, selama ini beliau dan suami tidak pernah pun berselisih faham kerana orang ketiga.

"Saya maafkan dia (Aliff) demi anak kami. Selama ini, kami tak pernah bergaduh hanya kerana wanita lain.

"Dia sendiri sudah mengakui kesilapannya. Berapa banyak dia tipu saya, itu urusan dirinya dengan Tuhan.

"Saya harap dia takkan mengulangi lagi kesilapan sama," kata Bella ketika dihubungi sebentar tadi.

Pasangan terbabit dijangka mengadakan sidang media di Bukit Jelutong, Shah Alam, petang ini, bagi menjelaskan situasi sebenar membabitkan kontroversi melanda mereka sejak beberapa hari lalu.

Khamis lalu, Aliff, 26, dikatakan mengasari isterinya yang masih dalam pantang selepas berlaku pergelutan apabila Bella datang ke sebuah premis hiburan di Cheras bagi mencarinya.

Di sana, Aliff dikatakan ditemui bersama seorang bakat baharu yang juga rakan gandingannya dalam drama Izinkan Aku Mencintaimu.

Bella, 23, membuat laporan polis berhubung insiden terbabit dan Aliff kemudian ditahan awal pagi 28 Julai lalu. Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, Sabtu lalu.

Bella turut mengakui, selepas ini beliau akan kembali menemani suaminya di set penggambaran drama berkenaan, sekali gus sanggup berdepan dengan pelakon wanita itu.

"Sebelum ini, saya hanya ke set penggambaran drama itu selama dua hari berturut-turut saja. Selepas itu, saya tidak lagi berbuat demikian atas permintaan suami.

"Ketika itu saya hamil lapan bulan. Selepas ini, seperti biasa saya akan teman suami bekerja. Tapi mungkin tak selamanya, kerana saya sedang mempertimbangkan untuk bekerja sendiri," katanya.

Bella berkata, sekalipun sudah memaafkan suaminya, beliau masih tidak dapat melupakan kejadian yang berlaku beberapa hari lalu.

"Saya masih tak dapat melupakan insiden tempoh hari. Semuanya masih terbayang-bayang dalam ingatan. Namun, saya kena jadi profesional dalam hal ini," katanya.

Aliff dan Bella berkahwin pada September 2016 dan rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran anak sulung, Mohamad Ayden Adrean, 8 Julai lalu.

Berita Harian X