Isnin, 31 Julai 2017 | 12:00am
JAC turut mencipta nama menerusi penyertaan dalam program realiti, Malaysian Idol, musim pertama, 13 tahun lalu.[FOTO NURUL SHAFINA JEMENON /BH]
JAC turut mencipta nama menerusi penyertaan dalam program realiti, Malaysian Idol, musim pertama, 13 tahun lalu.[FOTO NURUL SHAFINA JEMENON /BH]

Jac bangga nyanyi lagu ciptaan bekas protege

KUALA LUMPUR: Lapan tahun lalu, beliau pernah menjadi mentor kepada Hael Husaini yang ketika itu menggunakan nama Sani dalam program realiti terbitan TV3.

Kini, Jaclyn Victor atau lebih dikenali sebagai Jac, 38, amat berbangga apabila beliau dapat menyanyikan pula lagu ciptaan bekas anak didiknya itu berjudul Nisan Cinta.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu bernada tinggi terbabit, sejak dulu lagi beliau memang menyedari kemampuan dimiliki oleh Hael dalam bidang seni. Dalam rancangan Mentor musim ketiga, Hael dipasangkan dengan seorang lagi bakat, Erul.

"Sememangnya, sejak dulu saya tahu beliau mempunyai bakat menyanyi kerana selepas menyertai program Mentor pun, saya boleh lihat beliau terus berusaha untuk mengejar impiannya. Kemudian dia menyertai pula Akademi Fantasia bersama Azhar dan dari situ kita boleh nampak tekadnya.

JACLYN Victor, penyanyi yang terkenal dengan lagu bernada tinggi. - Foto NURUL SHAFINA JEMENON
JACLYN Victor, penyanyi yang terkenal dengan lagu bernada tinggi. - Foto NURUL SHAFINA JEMENON

PENYANYI, Hael Husaini Razmi atau dikenali Hael Husaini dan mentornya Jaclyn Victor. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Hael Husaini Razmi atau dikenali Hael Husaini dan mentornya Jaclyn Victor. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

"Jujurnya, saya gembira melihat perkembangan beliau. Dulu dia belajar dengan saya ketika menyertai rancangan Mentor dan sekarang, dia berjaya melebarkan sayapnya sebagai seorang penyanyi dan juga penulis lagu.

"Sejuk hati saya melihat pencapaiannya dan saya amat berbangga dengan dirinya," ujar Jac yang turut mencipta nama menerusi penyertaan beliau dalam program realiti, Malaysian Idol, musim pertama, kira-kira 13 tahun lalu.

Kata Jac, biarpun perjuangan mereka dalam program terbabit berakhir agak awal, namun semangat dimiliki Hael tidak pernah pudar.

"Walaupun ketika program itu berlangsung dulu, kamilah kumpulan pertama yang tersingkir, namun dia sentiasa berusaha mencari inisiatif bagi mengeluarkan lagu sendiri, mencari produser dan sebagainya. Saya sangat berharap beliau akan lebih berjaya selepas ini," katanya.

SUDAH lama Jac menyedari kemampuan Hael dalam bidang seni.[FOTO NURUL SHAFINA JEMENON /BH]
SUDAH lama Jac menyedari kemampuan Hael dalam bidang seni.[FOTO NURUL SHAFINA JEMENON /BH]

Hasil kesungguhan Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 29, beliau bukan sekadar popular sebagai penyanyi, malah ramai kalangan artis rakaman yang mendambakan lagu ciptaannya untuk dipertaruhkan di bidang seni.

Antara lagu ciptaannya yang diminati ramai ialah Hati-Hati nyanyian Amira Othman, Girl (Dafi), Cemburu (Nabila Razali), Semua Untuk Cinta (Indah Ruhaila) dan Rempuh (Tomok & Black). Beliau turut menghasilkan lagu berjudul Dia bersama Ezra Kong dan Omar K yang dimuatkan dalam album baharu Dayang Nurfaizah.

Hael sendiri kini cukup dikenali dengan lagu Jampi, yang berjaya menguasai kedudukan pertama carta lagu popular beberapa stesen radio tempatan seperti Hot FM dan Era FM, selain program Muzik Muzik.

Nisan Cinta ialah lagu berentak balada dendangan Jac bersama juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana, hasil ciptaan Hael dengan kerjasama Ezra serta Mike Chan.

Ia dirakam oleh dua penyanyi hebat berkenaan untuk dijadikan sebagai runut bunyi drama rantaian, Dendam Aurora.

JAC berbangga apabila dapat menyanyikan lagu ciptaan bekas anak didiknya berjudul Nisan Cinta.
JAC berbangga apabila dapat menyanyikan lagu ciptaan bekas anak didiknya berjudul Nisan Cinta.

Info:

  • Jac mula dikenali selepas menyertai Malaysian Idol pada 2004.
  • Terkenal dengan lagu Gemilang yang turut diangkat sebagai pemenang Juara Lagu 2005.
  • Pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2004.
  • Memenangi trofi Artis Duo / Berkumpulan Popular ABPBH 2011 bersama-sama Ning Baizura dan Shila Amzah.
Berita Harian X