Ahad, 23 Julai 2017 | 12:08am
PELAKON, Datuk Eizlan Yusof. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Datuk Eizlan Yusof. - Foto Aziah Azmee

Eizlan 'sambil menyelam, minum air'

KUALA LUMPUR: Lebih dua tahun menduda, pelakon, Datuk Eizlan Yusof, kini mengaku banyak memberikan ruang kepada diri sendiri untuk melakukan hobinya, iaitu menyelam di pulau.

Pada masa sama, beliau yang belum bertemu mana-mana pengganti selepas berpisah dengan Vie Shanti, banyak keluar untuk mengenali orang baharu yang dirasakan sesuai dijadikan suri di hati.

"Saya kini mempunyai lebih masa untuk bercuti ke pulau bagi melakukan aktiviti menyelam pada masa terluang. Pada masa sama, saya keluar bagi mengenali orang di luar sana.

EIZLAN banyak keluar untuk mengenali orang baharu yang difikirkan sesuai dijadikan suri hati dalam hidupnya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
EIZLAN banyak keluar untuk mengenali orang baharu yang difikirkan sesuai dijadikan suri hati dalam hidupnya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Tidak menetapkan sebarang kriteria dan juga had usia, saya serahkan semuanya pada kuasa Allah. Asalkan dia memahami kerja dan dapat menerima saya seadanya, ia sudah mencukupi buat saya," katanya ketika ditemui pada sidang media drama rantaian 100 episod, Dendam Aurora, di Suria KLCC.

Eizlan berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai pengganti selepas dua tahun hidup menduda.

Trauma dengan keperitan perpisahan dialami pada awal 2015, aktor tampan ini bagaimanapun mengakui secara perlahan-lahan beliau berusaha membuka pintu hati untuk kembali hidup berpasangan.

EIZLAN pernah mendirikan rumah tangga bersama Vie Shanti pada 7 Julai 2007, namun mereka bercerai pada 16 Februari 2015. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
EIZLAN pernah mendirikan rumah tangga bersama Vie Shanti pada 7 Julai 2007, namun mereka bercerai pada 16 Februari 2015. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Saya kini bagai sudah bersedia memberi peluang kepada diri sendiri bagi mengenali orang lain untuk dijadikan teman hidup. Biarpun keperitan kegagalan rumah tangga lalu masih terasa, saya perlu membuka hati semula dalam mencari pasangan.

"Lagipun, saya sudah berusia 46 tahun. Kata orang, masa sudah semakin suntuk. Jadi, saya memberikan masa kepada diri sendiri sehingga usia 48 tahun kerana dalam hal ini, saya tidak boleh mementingkan diri sendiri saja.

"Kalau berkahwin dengan ibu tunggal, ia lebih kepada mencari peneman hidup, namun jika hendak mengenali anak dara, semestinya dia mahukan zuriat. Oleh itu, saya harus memahami dengan jelas kedua-dua situasi itu sebelum berkahwin semula," katanya kepada BH Plus.

EIZLAN sudah bersedia memberi peluang kepada diri sendiri bagi mengenali orang lain untuk dijadikan teman hidup. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
EIZLAN sudah bersedia memberi peluang kepada diri sendiri bagi mengenali orang lain untuk dijadikan teman hidup. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Eizlan mendirikan rumah tangga bersama Vie Shanti pada 7 Julai 2007, namun mereka bercerai pada 16 Februari 2015.

Hasil perkahwinan selama lapan tahun itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.

Biarpun tidak lagi bersama, namun Eizlan berterima kasih kepada bekas isterinya yang membenarkan beliau berjumpa anak-anak secara bebas.

"Saya tidak terasa sunyi kerana dia (Vie Shanti) banyak memberikan kerjasama dalam bab bertemu atau mengambil anak-anak. Apabila ada masa terluang, saya akan berjumpa dengan anak-anak tanpa ada batasan," kata Eizlan.

INFO

  • Eizlan mula berkecimpung dalam dunia perfileman pada 1994 melalui filem Kad Cinta.
  • Memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin 1998 menerusi filem Panas.
  • Dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia ke-14 menerusi filem Perempuan Melayu Terakhir.
Berita Harian X