Jumaat, 21 Julai 2017 | 12:00am

Emma Maembong, Kamal Adli masih bersama

KUALA LUMPUR: Pernah dikatakan putus namun bertaut semula, hubungan intim pelakon cantik, Emma Maembong dan Kamal Adli terus menimbulkan tanda tanya.

Umpama bahagia bersulam derita, jalinan cinta antara Emma dan Kamal tidak putus dilanda ujian. Tahun lalu, dunia hiburan kecoh apabila pasangan ini dikatakan renggang, malah hubungan mereka dianggap ibarat 'telur di hujung tanduk'.

Ketika itu, Kamal secara terbuka mengaku berbuat salah hingga Emma berjauh hati. Mengharapkan kasih sayang antara mereka kekal hingga ke jenjang pelamin, Kamal turut menafikan wujudnya 'orang ketiga' hingga tercetusnya krisis antara mereka.

Bagai episod drama rantaian, peminat menanti penyudah kisah cinta Emma dan Kamal. Malah, teman baik Emma, Mawar Rashid diketahui ramai sedang melewati fasa bahagia dan bakal bernikah dengan Raf, iaitu adik kepada cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.

Mahu menamatkan teka-teki, Emma akhirnya membuat pengakuan kepada BH Plus bahawa dirinya masih lagi intim dengan Kamal.

EMMA Maembong dan Kamal Adli. - Foto NSTP

"Tiada perkembangan baru nak dikongsi mengenai saya dan dia (Kamal). Kami masih bersama. Cuma, ketika ini, masing-masing memberi tumpuan untuk masa depan.

"Saya tak fikir soal kahwin buat masa ini... Saya hanya ikut rentak hidup dan tiada tekanan. Jika diikutkan, orangpun sudah tidak hiraukan kisah hubungan kami," kata Emma.

Tegas Emma, selagi dirinya belum bersuara, apa yang gosip yang bertebaran membabitkan hubungannya dengan Kamil tidak lebih daripada khabar angin saja.

"Saya pernah mengeluarkan kenyataan, selagi tiada kenyataan rasmi atau status dikongsi di laman sosial seperti Instagram atau saya sendiri bercakap mengenai kahwin, memang tiadalah (rancangan bernikah).

"Jadi, janganlah percaya cerita yang belum pasti hujung pangkalnya. Macam Mawar, dia mengesahkan hubungan dengan Raf melalui akaun Instagram dan menanti untuk dilangsungkan.

"Sebaiknya, tunggulah jawapan rasmi saya (mengenai perancangan bersama Kamal). Kalau tak, janganlah percaya," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Dia membabitkan kerjasama produksi Malaysia-Indonesia.

PELAKON, Kamal Adli. - Foto Rohanis Shukri

PELAKON, Emma Maembong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Belajar daripada kesilapan

Emma yang bakal digandingkan dengan Alvin Chong buat kali kedua melalui projek drama terbitan Global Station Sdn Bhd, turut mengisi masa dengan berniaga.

Menawarkan produk seperti tudung, selendang, pakaian, sabun serum dan pelbagai barangan lain, Emma mengaku bidang lakonan tidak serancak dulu.

"Biarpun sibuk berniaga, saya takkan berhenti berlakon. Alhamdulillah, perniagaan yang saya usahakan semakin mendapat sambutan.

"Saya masih cuba kekalkan momentum dalam bidang lakonan, cuma sekarang tidak serancak dulu. Kalau dulu, asal ada masa dan jadual kosong, saya selitkan penggambaran.

"Sekarang, saya susun jadual penggambaran. Contohnya, dalam projek drama rantaian, saya ada waktu lapang seminggu untuk saya beri tumpuan kepada perniagaan," katanya.

Emma mengaku melalui detik turun atau naik dalam dunia perniagaan.

EMMA Maembong. - Foto Aziah Azmee

"Dunia perniagaan ada fasa turun dan naik. Bukan saja artis berniaga, usahawan lainpun melalui perkara sama. Tapi kalau perniagaan kita tidak jatuh, kita takkan belajar daripada kesilapan. Kesilapan lalu menjadi panduan untuk saya tidak mengulangi perkara sama dan berusaha mencapai kejayaan," katanya.

Emma berkata, dulu dia dilantik menjadi duta atau jurucakap produk dengan syarikat terbabit menjana untung.

"Kerjasama itu ibarat menjual nama saya. Sekarang, selepas tidak terikat sebagai duta, saya usahakan perniagaan sendiri termasuk yang dikendalikan dengan keluarga," kata pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu.

Senang diganding dengan Alvin

Mengenai gandingannya bersama Alvin Chong dalam projek drama terbaru terbitan Global Station, Emma menyenangi pelakon berbangsa Cina itu.

"Kali pertama kami berganding adalah dalam telefilem Tangisan Kubur yang memaparkan kisah hantu. Kali ini, kami bergabung pula untuk drama romantik.

"Dalam drama terbaru ini, paling mencabar, saya kena tunggang kuda. Jadi, saya kenalah belajar cara menunggang kuda," katanya yang menyifatkan Alvin memiliki karakter sama dengannya iaitu 'gila-gila'.

Info

  • Nama sebenar Fatimah Rohani Ismail.
  • Pernah merangkul trofi Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH ke-29).
  • Adiknya, Chacha Maembong dan kakak, Yaya Maembong turut menceburi bidang seni.
  • Kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Kimchi Untuk Awak.
Berita Harian X