Isnin, 4 April 2022 | 10:02am

Women Talk bincang isu semasa wanita

BUAT kali pertama pertama, rancangan temu bual The Women akan membawa topik dan isu semasa bersama tokoh wanita dari pelbagai bidang pada setiap hari Sabtu, jam 5.00 petang.

Lebih menarik, program yang akan bersiaran selama 13 episod ini menampilkan tetamu jemputan yang terdiri daripada pelbagai bidang untuk berkongsi pendapat dan informasi mengenai topik dan isu semasa yang menjadi fokus utama dalam golongan wanita.

Menerusi episod pertama Women Talk, topik yang dibicarakan adalah 'Meraikan kemenangan wanita Malaysia' dengan kemunculan istimewa Datuk Nicol David dan jurucakap kumpulan bekas penjawat awam (G25), Datuk Noor Farida Ariffin.

Nicol yang banyak kali mengharumkan nama negara, berkongsi pembabitan beliau dalam sukan skuasy di arena antarabangsa manakala Noor Farida, tokoh wanita yang lantang bersuara mengenai isu semasa dan hal ehwal politik Malaysia berkongsi cerita  kejayaan hidup yang meninggalkan impak dalam hidupnya.

Women Talk juga bakal membincangkan isu yang membabitkan gangguan seksual, vaksinasi dan dos penggalak COVID-19 kepada wanita dan kanak-kanak, pembabitan wanita dalam bidang perniagaan, tokoh wanita yang berpengaruh di dunia politik, keselamatan kewangan dan saringan untuk pemangsa seksual yang memburu anak-anak kecil.

Sidang produksi Women Talk diketuai oleh Shahila Shah sebagai ketua penerbitan manakala Datin Elaine Daly, Said Thani dan Farrah Naz Karim selaku penerbit.

Women Talk menampilkan Deborah Henry dan Zoraya Vadillo sebagai hos.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

Berita Harian X