Sabtu, 8 Januari 2022 | 9:47am

Saat Kau Takluk Cinta Ini penuh drama

APABILA dibuang keluarga selepas dituduh merampas tunang adik tiri, Haira Melissa membawa diri ke sebuah kampung mencari rakannya namun tersesat dalam keadaan hujan lebat.

Ketika berteduh di sebuah pondok dalam kebun pisang, dia bertemu pemuda kampung berpendidikan, Rahhal yang terpaksa mengorbankan tawaran kerja bagus di ibu negara demi menjaga ibunya yang diserang strok dan menguruskan tanah kebun pisang serta kolam ikan milik keluarganya.

Tidak lama selepas itu, Rahhal dan ibunya dihalau keluar dari rumah pusaka arwah oleh ibu saudara dan anaknya yang sangat berdendam dengannya.

Tersentuh dengan keikhlasan Rahhal yang sering mengambil berat mengenainya, Haira menerima lamaran Rahhal tetapi terdapat rahsia disimpan rapi.

Adakah ia akan mengancam mahligai cinta yang dibina oleh mereka?

Saksikan kesudahannya dalam Saat Kau Takluk Cinta Ini bermula 20 Disember 2021, setiap hari Isnin hingga Khamis, 10.00 malam menerusi slot Samarinda di TV3.

Drama bersiri 15 episod yang diinspirasikan dari novel Saat Kau Takluk Cinta Ini karya Sara Hezra adalah terbitan Kembara Sufi Sdn Bhd, diarahkan oleh Zamri Zakaria dan nukilan skrip oleh Eja Lorena.  

Drama ini menampilkan pelakon popular  seperti Idris Khan, Intan Najuwa, Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Wafariena Roslan, Wan Maimunah, Zarynn Min, Edika Yusof, Jasmin Hamid, Raja Azmi, Raja Baizura, dan Aleza Shadan.

Episod terkini Saat Kau Takluk Cinta Ini juga boleh ditonton menerusi perkhidmatan penstriman iQiyi sejam selepas tayangan di TV3 untuk pelanggan VIP Express iQiyi, manakala pengguna percuma dapat menonton 48 jam selepas.

Ia juga disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQiyi di App Store dan Play Store.

Berita Harian X