Sabtu, 17 Oktober 2020 | 3:07pm
Zakaria berharap penerima bantuan di bawah PELAKSANA dapat merangka pelan bagi merealisasikan objektif program berkenaan. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Zakaria berharap penerima bantuan di bawah PELAKSANA dapat merangka pelan bagi merealisasikan objektif program berkenaan. Foto NSTP/Rohanis Shukri

FINAS agih surat tawaran PELAKSANA bulan depan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menyerahkan surat tawaran kepada kumpulan pertama penerima bantuan di bawah Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), awal bulan depan.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid, berkata urusan berkaitan fasa pertama PELAKSANA sudah selesai di peringkat FINAS serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Keputusan bagi setiap penerima yang berjaya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Penyerahan surat tawaran dijangka diadakan awal bulan depan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"FINAS mengucapkan tahniah dan berharap setiap penerima yang berjaya boleh merangka pelan pelaksanaan bagi merealisasikan objektif program ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi inisiatif lain, Zakaria berkata, pendaftaran bagi permohonan program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang menjadi projek usaha sama FINAS, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan pusat pengajian tinggi, dibuka sejak Khamis lalu.

Zakaria berkata, FINAS juga membuka permohonan Dana Filem Cereka Khas Kenegaraan dan Dana Program TV/OTT melalui kerjasama khas dengan ASTRO.

Permohonan boleh dibuat atas talian mulai Isnin ini hingga 30 November 2020 di http://dkd.finas.gov.my.

"FINAS berharap dengan inisiatif berterusan ini dapat memeriahkan lagi industri perfileman bagi menempuh cabaran ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan memacu industri perfileman Malaysia ke peringkat antarabangsa," katanya.

Berita Harian X