Jumaat, 6 March 2020 | 4:05pm

'Makcik nak dia lupakan dulu soal kahwin'

DUNGUN: “Seboleh-bolehnya makcik nak dia lupakan dulu soal kahwin. Kami nak Awi (Safawi) utamakan kerjayanya dulu.

“Awi perlu melaksanakan tugas dan tanggung jawab kepada majikannya termasuk negaranya lebih dahulu,” kata Salemeh Abu Bakar, 56, ibu kepada penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid.

Pemain bola itu kini dilaporkan bergelut masalah prestasi kerana dikatakan berdepan tekanan daripada kekasihnya, Syifa Melvin yang mendesaknya untuk berkahwin.

Salemah yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Chatak, di sini berkata, dia mengetahui Safawi mempunyai hubungan dengan Syifa Melvin sejak lapan bulan lalu.

“Tahun lalu, Syifa ada dua kali datang ke rumah. Bagi makcik, Syifa baik orangnya, tetapi makcik tak tahu dia pelakon kerana tak pernah tengok drama lakonannya sebelum ini.

“Tiga minggu lalu, Awi ada hubungi makcik untuk bertanya khabar, pada masa sama dia memaklumkan ingin berkahwin.

Safawi Rasid dan Syifa Melvin.
Safawi Rasid dan Syifa Melvin.

“Namun, makcik cakap, ‘bukan mak tak restu, cuma mahu Awi tumpu kerjaya dulu, simpan duit dan selesaikan beberapa cita-cita yang diimpikan selama ini,” katanya.

Salemeh berkata, anaknya itu baru berusia 23 tahun dan belum sesuai untuk berkahwin dan menjadi ketua keluarga.

Dia juga mahu Safawi lebih matang sebelum menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Kalau boleh makcik nak pasangan Awi lebih muda daripadanya.

“Makcik tak memilih calon menantu, kalau boleh nak menantu yang ramah, kecoh-kecoh sikit atau miskin tak apa janji kaya budi bahasa dan boleh diterima ahli keluarga kami,” katanya.

Pada masa sama, dia mahu Safawi melunaskan impiannya termasuk menyara dua lagi adiknya yang masih bersekolah.

Rasid (kiri) dan Salemeh (dua dari kanan) berharap Safawi terus fokus pada kerjaya terlebih dahulu sebelum fikirkan soal perkahwinan. - NSTP/Rosli Ilham
Rasid (kiri) dan Salemeh (dua dari kanan) berharap Safawi terus fokus pada kerjaya terlebih dahulu sebelum fikirkan soal perkahwinan. - NSTP/Rosli Ilham

“Awi janji nak besarkan pusat mengaji al-Quran yang didirikan di Rantau Abang dan membina rumah orang tua.

“Sebaiknya dia laksanakan impiannya dulu baru fikir soal kahwin. Bagaimanapun, saya tidak mampu menolak dan berserah kerana soal jodoh, ajal, maut itu semua terletak di tangan Allah,” katanya.

Sementara itu, bapa Safawi, Rasid Sulong, 66, berkata dia sedar prestasi anaknya sedikit merosot kebelakangan ini, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada Syifa atau sebaliknya.

Pada masa sama, dia meminta Safawi fokus dalam kerjaya dengan menaikkan nama majikan iaitu JDT dan negara.

“Lupakan dulu soal jodoh, Awi masih muda, ...kumpul duit main bola, kita tak tahu kerjaya akan bertahan sampai bila.

“Saya tak mahu dia jadi seperti saya, kehidupan saya dan isteri sangat susah membesarkan 13 anak dengan gaji RM350 sebagai penjawat awam.

“Saya terpaksa buat kerja sambilan, Awi tahu kerana saya selalu mengajaknya membantu, sebab itu saya selalu berpesan padanya ‘kita susah tak akan ada orang yang sudi bantu,” katanya.

Berita Harian X