Rabu, 5 Februari 2020 | 7:34pm

Keluarga arwah Lok-U dapat pencen PERKESO

KUALA LUMPUR: ‘Syukur ada pihak prihatin saat kami diduga.’

Itu yang diluahkan, Jamariah Yusof, 40, balu kepada pengarah muzik terkenal, Faizal Uzir yang meninggal dunia secara mengejut, dua minggu lalu, sebaik menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di kediamannya di Seri Kembangan, di sini.

Allahyarham yang ketika hayatnya menjadi pengarah muzik bagi produk terbitan TV3 seperti Mentor dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), menerima pencen bulanan di bawah Faedah Pencen Penakat dan sumbangan RM2,000 bagi Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Sumbangan itu diserahkan Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman kepada Jamariah sambil disaksikan empat anak pasangan itu, berusia antara 13 hingga 20 tahun.

Turut hadir Pengurus Pejabat PERKESO Kajang, Thavamani Ramalingam; Ketua Cawangan Faedah, Ismail Abi Hashim dan Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zuraini Kassim.

Jamariah berkata, beliau tidak menyangka PERKESO bertindak pantas berikutan suaminya meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.

“Saya sangat terharu dan bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan kami.

“Dalam keadaan kami diduga, ada yang mengambil tahu. Terkejut apabila pegawai PERKESO datang. Fikirkan, kami yang perlu datang bertemu mereka.

“Sebaliknya, pegawai yang mengambil inisiatif untuk bertemu kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Jamariah mengaku memikirkan soal wang bagi membiayai keperluan anak-anak selepas kehilangan suami.

“Selepas hilang suami, hilanglah punca pendapatan. Kami bersyukur dengan jumlah yang diberi PERKESO.

“Biarpun tidak dapat memenuhi keperluan belanja bulanan, namun ia membantu kami meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Faizal, 46, meninggal dunia akibat sesak nafas selepas bersenam pada 22 Januari lalu.

Mustafa (kanan) menyerahkan replika cek kepada Jamariah pada majlis penyerahan faedah PERKESO di kediaman keluarga itu di Seri Kembangan. Turut hadir, Zuraini (dua dari kiri) dan Ismail. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Mustafa (kanan) menyerahkan replika cek kepada Jamariah pada majlis penyerahan faedah PERKESO di kediaman keluarga itu di Seri Kembangan. Turut hadir, Zuraini (dua dari kiri) dan Ismail. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X