Khamis, 9 Januari 2020 | 7:02pm

Warna-Warna Suara tema AJL34

KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 yang mempertaruhkan 12 karya mengangkat tema Warna-Warna Suara pada malam kemuncak yang akan disiarkan secara langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 9 Februari depan.

Penerbit Eksekutif AJL34, Nurhul Huda Khalid, berkata tema itu dipilih kerana ia menterjemahkan kepelbagaian vokal finalis bertanding.

“Kita hendak tunjukkan dalam dunia nyanyian, suara memainkan peranan penting. Vokal ada pelbagai jenis antaranya tenor, bass dan soprano.

“Kalau kita lihat, finalis mempunyai suara yang berbeza daripada segi julat dan nada.

“Kita juga menekankan daripada sudut visual apabila konsep persembahan, fesyen dan pentas akan lebih berwarna-warni.

“Kalau boleh, kami menggalakkan penonton yang datang ke stadium mengenakan pakaian yang berwarna-warni,” katanya pada sidang media AJL34 di sini, hari ini.

Nurhul Huda memberitahu tema Warna-Warna Suara diterjemahkan dalam segmen persembahan pembukaan.

“Kami akan tampilkan bekas pemenang kategori Vokal Terbaik pertama hinggalah tahun lalu. Mungkin tidak semua pemenang terbabit, namun yang terpilih tetap yang terbaik,” katanya

Sementara itu, Awal Ashaari, Sherry Al Hadad dan Haziq Hussni diumumkan sebagai pengacara AJL34.

AJL34 akan memulakan kehangatannya dengan segmen karpet merah secara strim langsung definisi tinggi (HD) di laman tonton pada jam 8 malam dan TV9 pada jam 8.30 malam.

Anugerah pencarian lagu terbaik berprestij itu mendapat sokongan McDonald's selaku penaja utama.

Mulai jam 9 malam ini, tiket pada harga serendah RM30 untuk menyaksikan AJL34 boleh dibeli di www.myticket.asia.

Finalis AJL34

Drama (Drama Band/Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib)

Ku Bersuara (Ernie Zakri/Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham)

Anta Permana (Bob Yusof/Hael Husaini, Ezra Kong)

Sumpah (Aina Abdul)

Lembah Kesepian (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran)

Sumpah (Naim Daniel/Naim Daniel & Omar K)

Peneman (Hazama The Penglipurlara/Tam)

Dinda (Kugiran Masdo/Ali Sariah)

Bangun (Aman RA/Navigator, Aman RA)

Kisah Cinta Kita (Hafiz Suip/Ikhwan Fatanna, Ayden Ali, Datuk A. Aida)

Ragaman (Fairuz Misran/Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo,Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan)

Rampas (Akim & The Majistret/Hang Nadim, Laq, Bunga Cantik)

KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima Berhad, Johan Ishak (lapan kiri), Ketua Pegawai Eksekutif SETEL, Iskandar Ezzahudddin (tujuh kiri) dan Pengurusan Kanan Pemasaran McDonald’s Malaysia, Azman Mohamad (enam kiri) bersama 12 finalis ALJ ke-34 bergambar pada sidang media Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) di De.Wan 1958 by Chef Wan Restaurant, The Linc, Jalan Ampang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X