Rabu, 8 Januari 2020 | 3:40pm
Naim mempertaruhkan lagu Sumpah pada malam kemuncak AJL34 di Stadium Axiata Arena pada 9 Februari depan. Foto NSTP/Aziah Azmee

Tiket AJL34 dijual esok

KUALA LUMPUR: Tiket pada harga serendah RM30 bagi menyaksikan Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL34) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Februari depan, mula dijual secara atas talian, esok.

Orang ramai boleh melayari www.myticket.asia bagi mendapatkan tiga jenis tiket yang ditawarkan iaitu tempat duduk aras empat RM30, aras tiga (RM40) dan arena (RM60).

Penjualan tiket akan bermula jam 9 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, berkata pihaknya memperketatkan sistem kawal selia bagi memastikan urusan kemasukan ke stadium dan tempat duduk lancar.

“Penganjur menggunakan sistem tempat duduk bernombor bagi memudahkan pemegang tiket membeli tempat duduk yang dikehendaki tanpa perlu berebut.

“Pembeli dan pemegang tiket perlu berhati-hati ketika membeli tiket dan mematuhi nombor tempat duduk bagi memastikan kelancaran AJL34,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Orang ramai dinasihat membeli tiket lebih awal kerana tempat duduk terhad. Kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun tidak dibenarkan masuk.

Membariskan lapan penyanyi solo dan empat kumpulan, AJL34 dijangka sengit dengan impak besar berdasarkan komposisi lagu dan keseimbangan bakat antara generasi.

Lagu yang bertanding adalah Lembah Kesepian ciptaan Haqiem Rusli dan lirik dihasilkan Haqiem bersama Ibnu & Gouffran dinyanyikan Haqiem; Drama (Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, / Drama Band); Sumpah (Naim Daniel, Omar K / Naim Daniel); Kisah Cinta Kita (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Datuk A Aida / Hafiz Suip) dan Ku Bersuara (Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham / Ernie Zakri).

Turut berentap adalah karya hasil ciptaan Navigator, Bangun, nyanyian Aman RA; Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo / Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan / Faizal Tahir); Anta Permana (Hael Husaini, Ezra Kong / Datuk Seri Siti Nurhaliza); Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik / Akim & The Majistret) dan Dinda (Ali Sariah / Kugiran Masdo).

Tidak ketinggalan memberikan saingan adalah Peneman karya ciptaan Tam yang didendangkan Hazama serta Sumpah, ciptaan dan nyanyian Aina Abdul.

Berita Harian X