Jumaat, 3 Januari 2020 | 5:42pm
Penyampai Kool FM, dari kiri, AG, Haiza dan Muaz. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Kool FM fokus isu semasa, sosial dan komuniti

KUALA LUMPUR: Stesen radio kendalian Ripple, Kool FM, bakal tampil dengan konsep baharu yang memfokuskan kepada isu semasa, sosial dan komuniti, bermula 6 Januari ini.

Menggunakan ‘tagline’ ‘Suara Semasa’, segmen Kool FM AG, Haiza & Muaz yang bersiaran dari jam 6 pagi akan mengetengahkan isu tempatan dan dunia, merangkumi topik polisi, teknologi, sukan, gaya hidup, kesihatan serta komuniti.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, Kool FM Rea yang bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang pula menyajikan pengisian gaya hidup, isu viral, motivasi dan hiburan.

Menemani pendengar dari jam 3 petang hingga 7 malam, Kool FM Linda Onn membincangkan isu nasional, dunia, keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya lebih santai serta bersahaja.

Dari jam 7 hingga 8 malam, pendengar boleh merehatkan minda dengan tazkirah Maghrib daripada ustaz jemputan menerusi Refleksi Kool.

Ia diikuti pilihan lagu terbaik era 1980-an hingga terkini yang akan dimainkan bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Perubahan kandungan juga akan dapat disaksikan di ruang digital. Mengekalkan Shah Sulaiman sebagai bakat digital, dia akan mengacarakan slot seperti Dari Lensa Kool, Kool Panas, Hero Kita, Spotlight Kool dan lain-lain.

Bercakap mengenai pembaharuan dan strategi terkini radio terbabit, Pengurus Besar Kumpulan, Audiens & Pemasaran, Ripple, Anida Tahrim, berkata melalui Kool FM Rebirth, mereka yakin mampu meneroka lebih banyak idea dari pelbagai dimensi kreatif dalam mengupas isu semasa, sosial dan komuniti.

“Dengan pembaharuan ini juga, sasaran pendengar dalam lingkungan usia 25 tahun ke atas berpeluang menyuarakan pendapat atau pandangan mereka mengenai topik dibincangkan setiap hari. Ia turut memberi peluang kepada jemputan dan pakar untuk menjelaskan sebarang persoalan daripada pendengar.

“Komunikasi atau perbincangan dua hala ini diharap dapat menjelaskan sesuatu isu atau kemusykilan dengan lebih baik.

“Pandangan orang ramai juga diteruskan melalui isi kandungan digital kami. Pelbagai isi kandungan lanjutan di tetuang udara dapat dipanjangkan di ruang digital. Kool FM yang baharu adalah medium perantara mewakili kelompok komuniti yang inginkan suara mereka didengari,” katanya.

Kool FM boleh didengari melalui frekuensi FM101.3 (Lembah Klang), FM90.2 (Pulau Pinang), FM93.6 (Kuala Terengganu), FM88.5 (Kota Bharu), FM107.3 (Alor Setar) dan FM104.3 (Kuching).

Ia juga boleh didengar secara penstriman di www.koolfm.com.my dan secara ‘live’ di YouTube Kool TV.

Berita Harian X