Rabu, 1 Januari 2020 | 7:44pm
MAN Bai antara penyanyi yang memeriahkan sambutan tahun baharu di MDCC, malam tadi. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sambutan tahun baharu MDCC meriah

PETALING JAYA: Permulaan 2020 diraikan penuh meriah apabila ribuan pengunjung memenuhi ruang Mutiara Damansara Commercial Centre (MDCC), di sini, malam tadi.

Seawal jam 8 malam, pengunjung mula berkumpul menantikan kemunculan artis jemputan seperti Man Bai, Geraldine Gan, Syafeek Ikhwan dan kumpulan NAMA, selain Phat Fabes yang menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.

Pengurus Besar Kanan The Curve, Jazmi Kamaruddin, berkata, acara tahunan itu dianjurkan untuk memberi pengunjung peluang beriadah bersama keluarga di samping menantikan kehadiran tahun baharu.

“Di samping mengalu-alukan kedatangan tahun baharu, pengunjung juga dapat berhibur dengan persembahan menarik, disusuli pertunjukan bunga api.

“Sempena kedatangan 2020, kami mengetengahkan barisan penyanyi yang bukan sahaja mampu menarik pengunjung berbilang bangsa, tetapi turut mempunyai bakat besar,” katanya.

JUARA i-Sing World 2018, Syafeek Ikhwan mempamerkan persembahan tenaga untuk menghiburkan penonton. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Persembahan dimulakan kumpulan muzik, The Colours, diikuti Anak Seni Warisan yang membawakan lagu berirama rancak. 

Kemunculan penyanyi yang meraih gelaran juara i-Sing World 2018, Syafeek Ikhwan memukau penonton menerusi persembahan bertenaganya membawakan lagu seperti Jampi, You’re the Reason dan Ragaman.

Peluang itu juga dimanfaatkan Syafeek untuk memperkenalkan single terbarunya, Suratan Ketentuan.

RIBUAN pengunjung membanjiri ruang MDCC menanti kedatangan tahun baharu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kehangatan semakin terasa apabila finalis Asia’s Got Talent musim ketiga, NAMA mengambil alih pentas. Mereka memberi persembahan yang cukup bertenaga, sekali gus membuatkan pengunjung bersorak terhibur.

Dikurniakan paras rupa yang memukau, penyanyi, pelakon dan juara Astro Star Quest, Geraldine Gan menghangatkan lagi suasana apabila mendendangkan lagu, One Step Along. 

Menjelang detik terakhir 2019, penyanyi legenda, Man Bai menggamit kenangan peminat, terutama ketika membawakan lagu popularnya, Kau Ilhamku.

Pengunjung dilihat turut sama menyanyikan lagu yang mendaki populariti pada 1995 itu.

Tepat jam 12 tengah malam, ruang udara MDCC diserikan dengan percikan bunga api dan sorakan kuat menandakan ketibaan 2020.

GERALDINE memukau penonton ketika membawakan lagu One Step Along. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Berita Harian X