Isnin, 16 Disember 2019 | 12:12am
JUARA, Apex Tajudin pada Final Mentor Milenia 2019 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. NSTP/Nurul Shafina Jemenon
JUARA, Apex Tajudin pada Final Mentor Milenia 2019 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Mentor Milenia 2019 milik Apex

SHAH ALAM: Protege Hazama, Apex Tajudin menepati ramalan apabila muncul juara program realiti, Mentor Milenia 2019 yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, sebentar tadi.

Apex atau nama sebenarnya, Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tajuddin membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Jejaka berusia 23 tahun itu juga menerima hadiah motosikal jenama Benelli dan peluang merakamkan single bersama Faizal Tahir.

APEX Tajudin (kiri) bersama Hazama pada Final Mentor Milenia 2019 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. NSTP/Nurul Shafina Jemenon
APEX Tajudin (kiri) bersama Hazama pada Final Mentor Milenia 2019 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. NSTP/Nurul Shafina Jemenon

APEX (tiga kiri) bersama pemenang kedua, Daus Husny (kanan), pemenang ketiga, Aedy Kama (dua kanan) dan Rika Riana pada Final Mentor Milenia 2019 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. NSTP/Nurul Shafina Jemenon
APEX (tiga kiri) bersama pemenang kedua, Daus Husny (kanan), pemenang ketiga, Aedy Kama (dua kanan) dan Rika Riana pada Final Mentor Milenia 2019 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Selain itu, Apex bakal menjalani penggambaran video muzik video muzik yang menjadi runut bunyi bagi sebuah drama terbitan TV3. Sebagai ganjaran tambahan, Apex diberi tempoh promosi slot televisyen (TV) dan radio bernilai RM500,000.

Apex juga akan menjayakan dokumentari pendek berkisar perjuangannya dalam program realiti berkenaan yang akan disiarkan dalam saluran YouTube TV3.

Peserta dari Terengganu itu menawan hati juri dengan lagu Merisik Khabar yang dipersembahkan secara solo. Apex juga berduet dengan Hazama mendendangkan medley lagu Fantasia Bulan Madu serta Langit dan Bumi.

Mengulas kemenangannya, Apex percaya kejayaan diraih adalah rezeki anak lelakinya yang berusia enam bulan.

“Saya tidak pernah merahsiakan status diri yang sudah berkahwin sejak setahun lalu. Selama ini, saya berkongsi foto isteri dan anak di Instagram.

“Saya takkan lupa diri. Saya tak malu mengaku pernah menjual nasi lemak hasil air tangan isteri dan dan ibu mentua.

“Saya mahu buktikan kejayaan ini mampu mengubah nasib diri dan keluarga... Insya-Allah,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Daus Husny, anak didik kepada Ernie Zakri, menduduki tempat kedua dan menerima wang tunai RM40,000 dan trofi

Protege Black, Aedy Kama mendapat tempat ketiga diikuti anak didik Stacy, Rika Riana meraih tempat keempat.

Mentor Milenia 2019 diadili hakim profesional iaitu Altimet, Datuk Syafinaz Selamat dan Faizal yang juga juri undangan bagi pentas akhir. Markah juri membentuk 60 peratus daripada keputusan dengan baki 40 peratus diperoleh daripada undian dalam talian.

Program realiti itu dikendalikan pengacara Shuk Sahar dan Elly Mazlein.

Berita Harian X