Selasa, 10 Disember 2019 | 6:10pm
GOBIND memaklumkan pengkarya seni kreatif bakal menikmati kenaikan kadar harga bagi program siaran RTM bermula April tahun depan. - Foto Hafiz Sohaimi
GOBIND memaklumkan pengkarya seni kreatif bakal menikmati kenaikan kadar harga bagi program siaran RTM bermula April tahun depan. - Foto Hafiz Sohaimi

Kerajaan lulus kenaikan kadar harga program RTM

KUALA LUMPUR: Penantian pengkarya seni kreatif selama 33 tahun untuk menikmati kenaikan kadar harga bagi karya yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi kenyataan apabila cadangan itu diluluskan kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dalam satu kenyataan media berkata, kadar kenaikan itu akan dilaksanakan bermula April tahun depan.

Katanya, kadar kenaikan yang diluluskan itu berdasarkan kategori rancangan iaitu 20 hingga 60 peratus bagi telefilem, 30 hingga 60 peratus (drama bersiri), 10 hingga 30 peratus (penerbitan dokumentari/majalah) dan 30 peratus (animasi bersiri).

“Usaha itu dibuat sebagai satu langkah penambahbaikan industri kreatif tempatan selepas mendengar keluhan penggiat seni, berikutan kadar harga semasa yang ditetapkan pada 1986 tidak pernah dikaji semula selama 33 tahun.

“Cadangan kajian semula kadar harga itu dikemukakan menerusi Jabatan Penyiaran Malaysia. Dalam menentukan kadar, RTM melaksanakan perbandingan dengan pihak ketiga untuk memastikan kadar ditawarkan kompetetif dengan pasaran semasa,” katanya.

Gobind berkata, kadar baharu itu akan terpakai mulai April 2020, tertakluk kepada kualiti produk, selain merujuk garis panduan perolehan rancangan iaitu setiap terbitan perlu melalui proses kelulusan dan piawaian yang ditetapkan dengan persetujuan RTM serta syarikat terbabit.

Katanya, di samping kenaikan kadar harga, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga akan menambah kepelbagaian rancangan seperti Extreme Gameshow (30 minit) di bawah kategori Variety Show; Muzikal Hiburan Bersiri (60 minit) dan Kapsul/Trailer/Promo (1 hingga 3minit).

“KKMM sentiasa prihatin terhadap cadangan dan syor pelbagai pihak berkepentingan untuk membantu pemain industri kreatif tempatan berdaya saing dan meningkatkan kualiti penghasilan karya seni.

“Inisiatif mengkaji semula kadar harga program RTM ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menambah baik industri kreatif tempatan.

“Kerajaan juga menyempurnakan peralihan daripada TV analog kepada digital, baru-baru ini. Usaha ini menambah bilangan saluran yang dinikmati secara percuma oleh rakyat, di samping meningkatkan keperluan kandungan tempatan untuk disiarkan,” katanya.

Gobind berkata, usaha pendigitalan dan kenaikan kadar harga RTM turut memberi penggiat seni lebih peluang untuk menerbitkan produksi bermutu, di samping meraih pendapatan lebih tinggi bagi karya mereka.

“KKMM juga sedang berusaha menambah baik susunan rancangan atau ‘belting’ sedia ada, selain mengkaji proses ‘pitching’ dan perolehan kandungan serta proses pemasaran RTM.

“Usaha ini akan memberi lebih peluang kepada industri kreatif dan pemasaran tempatan serta meningkatkan ketelusan proses sedia ada.

“KKMM akan memastikan kebajikan pemain industri kreatif tempatan sentiasa dipelihara dan dilindungi,” katanya.

Gobind berkata, langkah menambah baik kadar harga RTM yang dilaksanakan hanya dalam masa 19 bulan pentadbiran baharu, menunjukkan kesungguhan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat.

Berita Harian X