Ahad, 24 November 2019 | 5:56pm
GIM Soon, Ahmad Zaini dan Shamshul Azree serta Khai Bahar dan Siti Nordiana meraikan peminat bertuah pada majlis bersama pemenang Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular DuitNow ABPBH 32 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

DuitNow rai peminat bertuah ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Seramai 20 peminat bertuah diraikan penaja bersama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, DuitNow pada majlis ramah mesra yang berlangsung penuh meriah, petang tadi.

Pada majlis bertemakan Glamor Pink and Black itu, turut diraikan pasangan pemenang trofi Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular DuitNow ABPBH 32, Khai Bahar serta Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana.

Peminat bertuah itu dipilih sebagai ganjaran istimewa DuitNow sempena penganjuran ABPBH 32 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September lalu, sekali gus memberi mereka peluang mendekati dan beramah mesra dengan penyanyi kesayangan masing-masing.

Pengurus PayNet, Heliziana Madzin, berkata DuitNow menghargai usaha peminat kedua-dua penyanyi itu yang berusaha keras demi memastikan artis kesayangan mereka mencipta kejayaan, seterusnya memberi impak tersendiri pada penganjuran ABPBH 32.

“Majlis ini dibuat bagi menghargai peminat Khai dan Nana yang berusaha tanpa lelah membuat undian menerusi transaksi DuitNow. Ia juga menjadi ruang untuk kami meningkatkan kesedaran pengguna terhadap jenama ini menerusi acara hiburan, sekali gus membantu mengukuhkan lagi perniagaan.

“Menerusi kerjasama bersama ABPBH 32, ia menunjukkan perubahan ketara daripada segi transaksi apabila mencatat lebih 100 peratus peningkatan. Dari sudut pendaftaran pula, ia mencatat kira kira 80 peratus kenaikan.

“Sambutan positif ini memberikan kami keyakinan untuk menggunakan pendekatan sama dengan menjadikan program hiburan sebagai perantara perniagaan. Tidak dinafikan, impak program hiburan begitu cepat, malah langsung sampai kepada pengguna,” kata Heliziana.

Selain itu, DuitNow turut bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan pada 28 November ini.

GIM Soon, Ahmad Zaini dan Shamshul Azree serta Khai Bahar dan Siti Nordiana meraikan peminat bertuah pada majlis bersama pemenang Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular DuitNow ABPBH 32 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Tidak terbatas kepada hiburan, kita juga mahu lebih dekat dengan sektor lain, termasuk pertanian. Kita mahu galakkan masyarakat terus menggunakan transaksi DuitNow untuk semua urusan,” katanya.

Sementara itu, DuitNow turut memaklumkan, bakal mengumumkan dua pemenang tiket ke Korea Selatan serta tiga pemenang motosikal Y15ZR sebagai ganjaran istimewa dalam masa terdekat.

Selain itu, urusan penghantaran kepada 100 pemenang Set Make Up Borderless bernilai RM199.00 juga sedang dijalankan. Kesemua pemenang akan dihubungi pengurusan DuitNow dalam masa terdekat.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi Kumpulan PayNet, Tay Gim Soon; Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.

Pada acara itu, Khai dan Nana turut menghiburkan peminat dengan lagu popular mereka, termasuk Satukan Rasa, selain menjayakan pelbagai aktiviti permainan dan bergambar kenangan.

Sementara itu, Nana dan Khai menyifatkan, sokongan luar biasa peminat menjadi antara faktor kejayaan mereka untuk terus bertahan serta meraih pelbagai anugerah.

“Alhamdulillah, saya beruntung kerana memiliki peminat yang begitu menyayangi dan menghargai usaha saya. Mereka bukan sekadar minat, malah turut memberikan sokongan dalam apa juga acara yang membabitkan saya.

“Sebagai menghargai usaha mereka, saya perlu tunjukkan prestasi terbaik, sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan atau pengacaraan. Saya akan pastikan, setiap produk yang dihasilkan berbaloi untuk dinanti peminat,” kata penyanyi lagu Hatiku Milikmu itu.

Khai pula berkata, semua pencapaian yang diraihnya selama ini adalah berkat doa dan sokongan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Khai Bahar Empire atau KBE.

“Seperti mana mereka menyayangi saya, perasaan sama juga saya zahirkan kepada peminat. Saya amat terharu dengan sokongan padu mereka.

“Mereka tidak jemu menyokong dari dulu hingga sekarang, malah setia biarpun ramai bakat baharu muncul. Mereka membuatkan saya seperti dilamun cinta pandang pertama,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Luluh itu.

SITI Nordiana menghiburkan peminat pada majlis bersama pemenang Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular DuitNow ABPBH 32 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Berita Harian X