Ahad, 13 Oktober 2019 | 1:00pm
UPIN & Ipin: Keris Siamang Tunggal antara filem animasi tempatan yang mendapat sambutan pecah panggung. - Foto NSTP

Belanjawan 2020 bantu lonjak potensi animasi tempatan

KUALA LUMPUR: Penggiat animasi tempatan menyifatkan, peruntukan RM20 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memupuk bakat tempatan dalam menghasilkan kandungan digital mampu melonjakkan lagi potensi produksi animasi negara.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan, kelmarin, langkah itu diambil berikutan bidang seperti e-Permainan, animasi dan seni digital sedang berkembang pesat, sekali gus berpotensi menjana ekonomi negara.

Ia terbukti apabila pendapatan industri permainan video dunia melebihi AS$150 bilion pada masa ini, lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem.


BURHANUDDIN akur industri animasi berdepan cabaran, terutama dari segi kos penerbitan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata mereka menyambut baik inisiatif kerajaan itu kerana ia secara tidak langsung membantu merangsang pertumbuhan industri animasi tempatan.

“Bilangan studio animasi yang berpengaruh masih boleh dibilang dengan jari, selebihnya terpaksa ditutup kerana tidak lagi berdaya saing. Lihat sahaja tahun ini, hanya tiga filem animasi tempatan yang dikeluarkan, iaitu Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Boboiboy Movie 2 dan Ejen Ali The Movie.

“Kos penghasilan animasi yang tinggi iaitu sekitar RM40,000 untuk 30 minit tayangan turut membataskan pasaran di negara sendiri terbatas, terutama apabila stesen televisyen tidak lagi berani mengeluarkan perbelanjaan besar.

“Ia membuatkan mereka beralih dengan mendapatkan produksi animasi luar kerana ia jauh lebih murah. Disebabkan itu, kami perlu mencari pasaran baharu, terutama di negara luar seperti Indonesia.

“Inisiatif kerajaan ini secara tidak langsung menggalakkan pertumbuhan pemain industri animasi dan berharap ia membawa faedah untuk kesan jangka panjang,” katanya.


ANIMASI Ejen Ali menjadi taruhan Usamah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid, pula berharap peruntukan diberikan dilaburkan secara berkesan bagi menggalakkan lagi perkembangan industri animasi.

“Peruntukan itu membuktikan kepercayaan kerajaan terhadap industri animasi dan digital tempatan. Contohnya, tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk bidang e-sukan dan dalam Belanjawan 2020, jumlah itu meningkat RM20 juta.

“Peningkatan itu turut menjadi penanda aras potensi industri animasi dan digital negara untuk terus berkembang jika setiap pemain memanfaatkan peluang itu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios yang juga pengarah Boboiboy Movie 2, Nizam Abdul Razak pula menyifatkan keprihatinan kerajaan memberi rangsangan kepada pertumbuhan industri animasi tempatan.

Katanya, pengumuman kerajaan yang menaikkan siling setiap syarikat bagi inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dari RM200,000 kepada RM300,000 turut memberi manfaat kepada penggiat animasi tempatan.

“Usaha itu secara tidak langsung membawa produk kita ke pasaran lebih luas, sekali gus menggalakkan pemain industri menghasilkan lebih banyak produk,” katanya.

Berita Harian X